[VIDEO] Mulut disumbat najis kucing

Pelajar tahfiz dakwa jadi mangsa buli turut melecur disimbah air panas

A
A
A
KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Selepas insiden kebakaran bangunan asrama pada 2017 yang mengorbankan 23 pelajar, Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiah sekali lagi menjadi perhatian apabila seorang pelajarnya dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur akibat melecur disimbah air panas.

Dalam kejadian 16 Oktober lalu, Muhammad Al-Yusof Muhaimin Mohamad Amir, 13, yang baru enam bulan belajar di tahfiz itu mendakwa menjadi mangsa buli sehingga menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Kebakaran HKL selama 10 hari.

Dia mendakwa disimbah air panas ketika sedang tidur kira-kira jam 4 pagi di asrama tahfiz berkenaan sehingga menyebabkannya melecur di bahagian badan dan paha kiri.

Bukan itu sahaja, mangsa turut mendakwa dua hari sebelum kejadian dia ditumbuk di bahagian muka dan mulutnya disumbat najis kucing oleh pelaku berusia 12 tahun yang merupakan senior kerana telah tinggal di tahfiz tersebut lebih lama sejak dua tahun lalu.

"Dulu masa bulan tiga, kami pernah bergaduh tumbuk tapi saya kalah. Dia suka kacau saya, jadi saya mampu ejek dia sebab nak lawan balik tak boleh, dia kuat.

"Petang Isnin lepas Asar, dia panggil saya pergi tingkat bawah asrama. Lepas itu dia tumbuk muka saya. Kat tingkat bawah ni memang selalu ada kucing berak. Dia ambil tahi kucing pakai baju, lepas itu sumbat dalam mulut saya.

"Pagi Rabu waktu tengah tidur, tiba-tiba ada orang tumbuk, bangun tengok bibir berdarah. Lepas itu, saya terkejut sebab kena simbah air panas, terus saya bangun menjerit sakit," katanya ketika ditemui di HKL di sini semalam.

Muhammad Al-Yusof berkata, rakan lain segera membantu dengan menyapu ubat gigi ke bahagian yang melecur sebelum memaklumkan kejadian itu kepada warden asrama yang dipanggil ustaz.

Menurutnya, ustaz membawanya ke hospital dengan menaiki kereta.
Artikel Berkaitan:


Dua hari selepas kejadian, Pengetua Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiah, Muhammad Zahid Mahmod menjelaskan bahawa insiden berkenaan bukan kes buli sebaliknya salah faham dan ejek-mengejek antara dua pelajar.

Muhammad Zain turut memaklumkan bahawa ia hanya melibatkan sebekas air panas tanpa mengakibatkan mangsa melecur selain kedua ibu bapa pelajar terbabit bertemu untuk berbincang.

Bagaimanapun, penjelasan pengurusan tahfiz itu mengundang rasa tidak puas hati ibu kepada pelajar terbabit yang tampil semalam bagi menceritakan perkara sebenar.

Ibu mangsa, Siti Satariah Ahmad, 36, berkata, tiada pertemuan antara kedua ibu bapa pelajar tersebut dan siasatan awal polis mendapati pelaku menyimbah air panas menggunakan bekas plastik menyimpan kuih.

Menurutnya, anak kedua daripada empat beradik itu melecur 13 peratus dan kini perlu menjalani fisioterapi apabila tulang sendi bahu terjejas akibat insiden berkenaan.

"Yusof sendiri mahu masuk tahfiz kerana mahu ikut abangnya yang belajar di sebuah tahfiz lain sebab dekat dengan rumah, saya hantar Yusof ke Darul Quran Ittifaqiyah.

"Pada bulan Mac lalu, Yusof pernah lari dari tahfiz pada jam 1 pagi kerana tidak tahan dikacau dan ditumbuk. Jadi saya rancang untuk pindahkan abang dia ke tahfiz yang sama.

"Malam Isnin (dua hari sebelum insiden simbah air panas) saya ke tahfiz untuk masukkan abangnya ke situ. Ketika berjumpa sekejap dengan Yusof, saya dapati ada kesan lebam tepi mata kiri. Dia kata kena pukul.

"Saya maklumkan kepada pengetua dan pengetua beritahu dia akan selesaikan perkara tersebut. Saya hubungi ibu bapa pelaku melalui WhatsApp dan sedia berjumpa pada malam esok tapi mereka tidak datang pun," katanya.

Siti Satariah berkata, difahamkan pelaku dikenakan hukuman rotan di hadapan pelajar lain.

Menurutnya, pada pagi Rabu, suaminya, Mohamad Amir Md Mahyuddin, 37, dihubungi pengetua tahfiz berkenaan memaklumkan Yusof dibawa ke hospital kerana terkena air panas.

"Kami terus ke HKL dan Yusof sedang menerima rawatan. Tengah hari baru dapat tengok Yusof dan dia dalam keadaan separuh sedar kesan daripada ubat.

"Selama 10 hari Yusof di ICU, tiada seorang ustaz dari tahfiz itu datang tengok. Bil hospital lebih RM400 pun kami tanggung sendiri.

"Saya terkejut bila baca penjelasan pengetua tahfiz di Sinar Harian Online. Saya hanya berhubung dengan keluarga pelaku melalui WhatsApp dan mereka mahu kami tarik balik laporan polis," katanya.

Situ Satariah berkata, keluarga pelaku menawarkan kos ganti rugi sebanyak RM3,000 namun dia dan suami mahu menuntut keadilan untuk Yusof melalui perbicaraan di mahkamah.