Sanggup kerja di kandang kambing demi basikal lajak

Tiga remaja dan kanak-kanak berlumba sesama sendiri ketika tinjauan di Bukit Besar baru-baru ini. - Foto Bernama
Tiga remaja dan kanak-kanak berlumba sesama sendiri ketika tinjauan di Bukit Besar baru-baru ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Dek kerana terlalu minat dengan basikal lajak, ada dalam kalangan kanak-kanak dan remaja yang sanggup bekerja di kandang kambing selepas waktu sekolah.

Ada juga di antara yang ditemui Bernama berkata, mereka terpaksa 'mengikat perut' dan tidak membeli makanan di sekolah asalkan dapat memiliki basikal lajak yang diidamkan.

Firdaus (bukan nama sebenar), 14, berkata, beliau menjaga kandang kambing dengan kadar upah sebanyak RM30 sehari bermula jam 6 petang sehingga 10 malam.

Beliau bekerja setiap hari selama beberapa bulan sehingga berjaya mengumpul wang dan mampu membeli basikal lajak yang bernilai lebih RM400 pada Mac lepas.

Bagaimanapun katanya, basikal itu bukanlah untuk berlumba di jalan raya sebaliknya hanya digunakan bagi melakukan aktiviti riadah bersama rakan sekampung.

Dua remaja bersama basikal lajak mereka ketika tinjauan di Bukit Besar baru-baru ini.- Foto Bernama
Dua remaja bersama basikal lajak mereka ketika tinjauan di Bukit Besar baru-baru ini.- Foto Bernama

"Sebelum ini saya memiliki basikal biasa namun bila timbulnya trend basikal lajak saya pun berusaha untuk mendapatkannya dengan mengumpul duit belanja sekolah dan hasil bekerja sambilan.

"Saya dan rakan bermain basikal di tempat tiada orang ramai kerana tidak mahu menanggung risiko dan membahayakan pengguna jalan raya dan tidaklah sampai melakukan aksi di lebuhraya," katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu seorang lagi rakannya, Amirul (bukan nama sebenar), 12, berkata, beliau menggunakan kreativitinya sendiri untuk mereka basikal lajak yang diingini dan komponennya dibeli hasil daripada wang saku RM5 yang diberi oleh ibunya untuk ke sekolah.

"Saya memasang komponen basikal ini dengan bantuan rakan-rakan yang lain dan dibeli menggunakan wang saku sekolah yang dikumpul sedikit demi sedikit sehinggalah menepati citarasa saya," katanya.

Tambahnya, setiap aktiviti basikal lajak itu akan disampaikan menerusi aplikasi WhatsApp yang disertai lebih 50 orang di sekitar Kuala Terengganu.

Menurut Amirul, setiap hujung minggu semua ahli berkenaan akan berkumpul di kawasan tertentu untuk berkonvoi dan mempamerkan basikal masing-masing.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Terengganu, Superintendan Abd Razak Hasan ketika dihubungi berkata, gejala basikal lajak di negeri itu tidak serancak negeri-negeri lain kerana ia berlaku di kawasan kampung.

Abd Razak berkata, pihak polis juga telah mengambil pendekatan membendung sejak beberapa tahun lalu dan sentiasa memberi peringatan secara berkala menerusi pelbagai program bersama komuniti setempat.

"Kita lihat kanak-kanak dan remaja yang terlibat dengan basikal lajak ini mempunyai kecenderungan menjadi 'mat rempit' pada masa akan datang kerana menyukai perlumbaan di jalan raya. Sebab itulah pencegahan perlu dilakukan di peringkat awal," katanya.

Menurut Abd Razak, pada tahun lepas terdapat dua kes yang melibatkan aktiviti basikal lajak di jalan raya iaitu di kawasan Wakaf Beruas dan Pulau Sekati, yang mana remaja yang terlibat telah ditahan dan dibawa ke balai polis.

"Ketika itu tiada sebarang tindakan diambil, sebaliknya bertindak memanggil ibu bapa remaja berkenaan dan menasihati mereka agar tidak membiarkan anak-anak terlibat dengan aktiviti merbahaya itu," katanya. - Bernama