Guru taska jadi ejen kesan autisme kalangan kanak-kanak

Dr Izani (kiri) bersama ibu bapa dan kakitangan JKN selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Autisme Sedunia Peringkat Negeri Kelantan 2023 pada Rabu.
Dr Izani (kiri) bersama ibu bapa dan kakitangan JKN selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Autisme Sedunia Peringkat Negeri Kelantan 2023 pada Rabu.
A
A
A

KOTA BHARU - Guru taman asuhan kanak-kanak (Taska) merupakan ejen yang boleh membantu mengesan autisme dalam kalangan kanak-kanak.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Datuk Dr Izani Hussin berkata, guru terbabit boleh memaklumkan kepada ibu bapa jika ada kelainan sikap terhadap kanak-kanak.

"Justeru pendedahan mengenai autisme dalam kalangan guru taska juga penting untuk tujuan itu. Itu perkara yang positif," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Autisme Sedunia Peringkat Negeri Kelantan 2023 dekat sini pada Rabu.

Menurut beliau, kerajaan Kelantan bersedia bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) bagi membantu meningkatkan kesedaran berkaitan autisme.

Jelasnya, kerajaan negeri tiada kepakaran dan kakitangan dalam bidang itu.

"Kerjasama ini membolehkan kita menguar-uarkan supaya ibu bapa ambil tahu. Pada masa sama kanak-kanak ini boleh diubah untuk lebih berpotensi dan menunjukkan bakat mereka.

"Kita menggalakkan ibu bapa menghantar anak-anak mereka ke pusat khas autisme yang memberi pendedahan mengenai autisme untuk mengurus anak-anak istimewa ini," katanya.

Beliau turut memaklumkan, kesedaran mengenai autisme dalam kalangan masyarakat meningkat sejajar dengan peningkatan kes dari tahun ke tahun.