Bekas hakim, TPR, peguam tak mengaku terima rasuah

Salah seorang tertuduh ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini.
Salah seorang tertuduh ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Bharu bersama timbalan pendakwa raya (TPR) dan seorang peguam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam di sini hari ini atas tuduhan menerima suapan RM17,500 bagi menjatuhkan hukuman denda terhadap tujuh pendatang asing tanpa izin (PATI), Julai lalu.

Ketiga-tiga tertuduh, Azmil Muntapha Abas, 45; Timbalan Pendakwa Raya, Khairul Azhwa Yusrie Mohamad, 32; dan peguam, Noor Amirul Nazreen Anas, 31, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Rozillah Salleh.

Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh bersetuju menerima suapan RM17,500 daripada Wong Chiew Hoong sebagai upah untuk Azmil Muntapha menjatuhkan hukuman denda sahaja kepada tujuh PATI.

Perbuatan itu dilakukan antara jam 9.30 pagi hingga 2.45 petang di Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Bharu, Selangor pada 17 Julai lalu.

Dengan itu, ketiga-tiga tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah perenggan 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah subseksyen 24(1) akta sama yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan.

Kes dikendalikan Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Roslan Mat Nor.

Roslan dalam hujah pendakwaan menegaskan kes berkenaan amat serius dan mencalarkan imej badan kehakiman yang sebelum ini dipandang mulia.

Sementara itu, Azmil Muntapha yang kini berkhidmat sebagai pegawai undang-undang di Istana Kehakiman, Putrajaya turut didakwa dengan pertuduhan kedua menerima suapan berjumlah RM5,000 bagi menjatuhkan hukuman denda sahaja terhadap enam individu yang melakukan kesalahan mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953 (Akta289).

Artikel Berkaitan:

Kesalahan itu dilakukan di sebuah bank di Jalan Meru pada 8.24 malam, 10 Mei 2018.

ARTIKEL BERKAITAN: Hakim dijangka didakwa bersama TPR, peguam esok

Dia didakwa mengikut subseksyen 17(a) Akta SPRM 2009 (Akta 289) yang sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun serta denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan.

Dia juga ditawarkan pertuduhan pilihan bagi kesalahan sama mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Azmil Muntapha diwakili peguam Gregory Santiago, A Sheelan, Ridha Abdah Subri dan Jagesh M Lingam manakala Khairul Azhwa diwakili Zulkepli Omar serta Nur Fathin Muhammad Zain.

Noor Amirul pula diwakili peguam Shahidah Muslimah Roslan dan Noorhidayah Mohd Saad.

Pihak pendakwaan menawarkan jaminan sebanyak RM100,000, namun semua peguam tertuduh meminta jaminan dikurangkan iaitu antara RM2,500 hingga RM12,000 berikutan tertuduh masing-masing mempunyai tanggungan termasuk anak, isteri dan ibu bapa yang uzur serta sakit tua.

Hakim Rozillah kemudiannya menetapkan wang jaminan RM12,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin dan tertuduh perlu menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan 16 Disember depan untuk sebutan semula kes.