LTTE: Dua pertuduhan terhadap ADUN Seremban Jaya batal

Laporan Sinar Harian
Laporan Sinar Harian
A
A
A

SEREMBAN - Mahkamah Sesyen di sini hari ini membenarkan permohonan pasukan pendakwaan untuk membatalkan dua pertuduhan memiliki item berkaitan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) ke atas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seremban Jaya, P Gunasekaran.

Timbalan Pendakwa Raya, Aslinda Ahad mengemukakan permohonan itu di hadapan Hakim Madihah Harullah.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua sebelum ini, Gunasekaran didakwa memiliki item berhubung kait LTTE di pejabat dan kediaman.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di nombor 2844, Jalan SJ 3/6B, Taman Seremban Jaya dan nombor 139, Kampung Baru Rahang, di sini, masing-masing pada jam 9.58 pagi dan 11.50 pagi, 10 Oktober lepas.

Bagaimanapun Gunasekaran tidak hadir ke mahkamah dan hanya diwakili barisan empat peguam diketuai RSN Rayer yang juga Ahli Parlimen Jelutong.

Sebelum ini, Gunasekaran yang juga Timbalan Pengerusi DAP Negeri Sembilan dituduh masing-masing di Mahkamah Sesyen Melaka pada 29 Oktober kerana memberi sokongan kepada LTTE dan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 31 Oktober lalu atas pertuduhan tambahan.

Sementara itu, Rayer ketika bertemu dengan media kemudian berterima kasih kepada pendakwa atas langkah yang diambil.

"Kami dimaklumkan pagi ini selepas tuduhan difailkan, mereka (pendakwa) membuat keputusan untuk menarik balik dua tuduhan. Tiada sebab diberikan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau juga berharap langkah yang sama akan diambil pihak pendakwaan di mahkamah lain.

"Kami berharap pihak pendakwa akan menimbang semula dan menarik balik tuduhan terhadap semua yang lain (yang ditahan di bawah SOSMA yang berkaitan dengan LTTE).

Turut hadir, Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran yang juga Timbalan Pengerusi DAP Kebangsaan.

Semalam Mahkamah Tinggi menolak permohonan habeas corpus difailkan lima lelaki termasuk dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang ditahan berkaitan kumpulan LTTE supaya mereka dibebaskan serta-merta daripada tahanan.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh ketika membuat keputusan itu berkata permohonan dikemukakan kesemua pemohon kini bersifat akademik dan tidak relevan kerana mereka telah dituduh di mahkamah.

"Penahanan kesemua pemohon sudah berakhir apabila mereka dituduh di mahkamah. Tiada lagi isu dalam permohonan ini. Oleh itu, permohonan kesemua pemohon ditolak," katanya. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: LTTE: Permohonan dua ADUN, tiga lelaki dibebaskan dari tahanan ditolak

Tiga individu termasuk dua ADUN didakwa sokong LTTE