JKM Perlis terima 20 kes keganasan rumahtangga

Mohammad Hazam (empat dari kanan) dan Siti Berenee (lima dari kanan) bergambar bersama Setiausaha dan Pengerusi MPKK Parlimen Arau.
Mohammad Hazam (empat dari kanan) dan Siti Berenee (lima dari kanan) bergambar bersama Setiausaha dan Pengerusi MPKK Parlimen Arau.
A
A
A

KANGAR - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perlis menerima laporan sebanyak 20 kes keganasan rumah tangga yang dicatatkan setakat bulan ini.

Pengarah JKM Perlis, Mohammad Hazam Ismail berkata, mereka yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga wajar melaporkan kepada pihak JKM bagi mendapatkan perlindungan.

"Selain daripada perlindungan sementara di lokasi yang selamat, mangsa juga akan diberikan bantuan kewangan, kaunseling dan juga lain-lain bantuan yang diperlukan," katanya ketika ditemui pada program Jerayawara Perlindungan Mangsa Keganasan Rumahtangga dan Sokongan Bantuan Kewangan JKM Perlis di Hotel Seri Malaysia hari ini.

Menurutnya, program itu menumpukan kepada 110 pengerusi dan setiausaha Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Parlimen Arau.

Menurut Hazam, kesedaran kepada pemimpin masyarakat ini sangat perlu bagi membolehkan mereka mendapat info berguna yang boleh disampaikan kepada akar umbi.

"Tujuan kita bagi penerangan kepada kumpulan sasar MPKK ini adalah kerana mereka merupakan pihak yang paling rapat dan hampir dengan masyarakat," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat Majlis Mesyuarat kerajaan Negeri Perlis, Siti Berenee Yahaya berkata, kerajaan negeri amat prihatin dan memandang serius kes keganasan yang berlaku ke atas wanita.

Menurutnya, ini memandangkan Malaysia merupakan negara yang menyokong kepada konvensyen penghapusan segala bentuk diskriminasi terhadap wanita.

Artikel Berkaitan:

"Adalah menjadi komitmen bagi kerajaan negeri untuk memastikan kesejahteraan wanita dipelihara juga selaras dengan tuntutan agama Islam.

"Komitmen ini diterjemahkan dalam bentuk dasar dan perundangan yang digubal atau dipinda serta program-program yang diadakan bagi memastikan apa jua usaha menangani sebarang bentuk keganasan terhadap wanita yang dilakukan secara holistik," katanya.

Katanya, beliau amat berharap pemimpin di peringkat akar umbi terutama MPKK mengambil perhatian terhadap masalah kekeluargaan dan keganasan terhadap wanita bagi memastikan tindakan wajar boleh diambil.