Kerajaan Johor ada pelan khas hadapi banjir ketika SPM

Aminolhuda (depan, tengah) bergambar bersama petugas peperiksaan ketika lawatannya ke SMK Kulai Besar di sini hari ini.
Aminolhuda (depan, tengah) bergambar bersama petugas peperiksaan ketika lawatannya ke SMK Kulai Besar di sini hari ini.
A
A
A

KULAI - Kerajaan Johor mempunyai perancangan jika negeri ini dilanda banjir sepanjang berlangsungnya peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Exco Pendidikan, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi negeri, Aminolhuda Hassan berkata, perancangan itu melibatkan latihan persediaan kawalan banjir kepada petugas peperiksaan selain mengenal pasti sekolah-sekolah berpotensi dilanda bencana terbabit.

“Jabatan Pendidikan Negeri telah menubuhkan satu jawatankuasa iaitu Jawatankuasa Gerakan Payung. Dalam jawatankuasa ini, setiap petugas dilatih untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

“Selain itu, kita juga telah kenal pasti sekolah-sekolah berpotensi dilanda banjir dan sekiranya berlaku, calon-calon ini akan dibawa berpindah ke sekolah yang paling hampir.

“Kalau tidak ada, kita akan pindahkan mereka ke asrama berdekatan,” katanya pada sidang akhbar selepas melakukan lawatan sempena hari pertama SPM fasa kedua di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kulai Besar di sini hari ini.

Aminolhuda berkata, pelaksanaan SPM pada tahun ini juga menyaksikan buat pertama kalinya diadakan dua fasa di mana fasa pertama bermula pada 14 Oktober lalu.

Katanya, bagi fasa kedua, seramai 50,619 calon SPM 2019 di negeri ini mula menduduki peperiksaan di 360 pusat penempatan peperiksaan bermula 5 hingga 28 November ini.

“Fasa pertama telah bermula pada 14 hingga 17 Oktober lalu dan mata pelajaran yang diduduki oleh calon peperiksaan adalah sebanyak 38 mata pelajaran daripada 48 kertas peperiksaan.

Artikel Berkaitan:

“Peperiksaan fasa dua ini melibatkan 26 mata pelajaran daripada 48 kertas peperiksaan,” katanya.

Beliau berkata, daripada jumlah keseluruhan calon, seramai 43,567 calon merupakan calon Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK), Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK).

Katanya, selebihnya adalah 798 calon yang merupakan calon Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan Pusat GiatMara; Sekolah Agama Kerajaan Negeri (138 calon); Sekolah Swasta (3,807 calon) dan persendirian (2,219 calon).

“Selain itu, jumlah calon bagi Calon Berkeperluan Khas (CBK) di negeri ini adalah sebanyak 186 orang yang terdiri daripada kategori masalah pembelajaran, penglihatan, kurang upaya pelbagai, pertuturan, pendengaran dan fizikal,” katanya.