X

Kindly register in order to view this article
!

Polis kesan lelaki berkopiah larikan beg pelajar USIM

Rakaman CCTV gambar suspek yang tular di media sosial Facebook.
A
A

NILAI - Polis sedang mengesan seorang lelaki berkopiah dipercayai melarikan beg penuntut Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Masjid Bandar Baru Nilai di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar berkata, kejadian jam 5 pagi itu telah mengakibatkan mangsa berusia 20 tahun kerugian RM2,500.

“Mangsa yang baru sampai dari Kelantan dengan menaiki bas ekspres singgah ke masjid itu untuk solat subuh sementara menunggu rakannya.

“Ketika masuk ke dalam tandas, mangsa telah meletakkan dua begnya di atas tembok tempat mengambil wuduk, namun apabila keluar dia dapati begnya telah hilang,” katanya.

Menurutnya, mangsa kemudian telah memaklumkan perkara itu kepada pihak pengurusan masjid dan memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

Beliau berkata, berdasarkan rakaman CCTV, kelihatan seorang lelaki berkulit sawo matang dan berjanggut didapati telah mengambil beg mangsa sebelum dilihat meninggalkan masjid.

“Suspek dilihat meninggalkan masjid dengan menaiki sebuah kereta jenis Perodua Axia warna hijau cair dan mangsa telah membuat laporan di Balai Polis Nilai.

“Polis kini mengesan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan,” katanya.