Garis panduan 30 peratus produk PKS di pasar raya ditambah baik: KPDNHEP

Kempen Beli Barangan Buatan Malaysia
Kempen Beli Barangan Buatan Malaysia
A
A
A

KUALA LUMPUR - Garis panduan yang menetapkan sebanyak 30 peratus produk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dijual di pasar raya besar dikaji untuk ditambah baik bagi menyemarakkan Kempen Beli Barangan Buatan Malaysia.

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Muez Abd Aziz berkata, ia bagi memastikan garis panduan yang telah disediakan sejak 2010 itu dapat dilaksanakan sepenuhnya sekali gus membantu pelaksanaan kempen berkenaan.

"Kami juga berbincang dengan mereka (pasar raya besar) supaya kos penyenaraian dikurangkan atau dikecualikan bagi mudahkan laluan usahawan PKS untuk pasarkan produk mereka,” katanya dalam temu bual khas di Wisma Bernama.

Pada masa yang sama, pihaknya juga bekerjasama dengan pasar raya besar di negara ini yang mempunyai rangkaian di luar negara untuk mempromosikan produk keluaran Malaysia bagi membolehkan ia lebih dikenali ramai.

Beliau berkata, kementeriannya juga menerima kerjasama baik daripada pengendali perkhidmatan e-dagang di negara ini yang secara kolektif sama-sama membantu dan menyokong hasrat kerajaan dalam menjayakan kempen itu.

"Sokongan yang diberikan tidak hanya terhad kepada mempromosi dan menjual produk buatan tempatan di platform dalam talian masing-masing sebaliknya turut menawarkan insentif menarik kepada pengusaha produk buatan tempatan.

“Inisiatif kementerian ini mendapat kerjasama yang cukup baik daripada marketplace seperti Shopee, Lazada, ROKKI.com dan OurShop bagi pelaksanaan kempen ini," katanya.

Muez berkata, orang ramai seharusnya membuang stigma bahawa barangan tempatan sebagai tidak berkualiti dibandingkan produk import memandangkan secara relatifnya terdapat banyak produk tempatan yang berjaya melepasi pasaran antarabangsa setiap tahun.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, industri pengeluaran di negara ini menyumbang sekitar 28 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

"Ia jumlah yang agak besar jadi sebab itu kami nak rakyat yakin dengan produk buatan tempatan," katanya. - Bernama