Kelantan, Sarawak dapat lesen tapi bersyarat

Stuart Ramalingam
Stuart Ramalingam
A
A
A

UKM FC, Kelantan dan Sarawak boleh menghela nafas lega apabila dibenarkan beraksi pada saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan selepas memperoleh lesen kebangsaan.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam berkata, First Instance Body (FIB) Pelesenan Kelab FAM memberikan lesen kebangsaan itu dengan bersyarat kepada Kelantan dan Sarawak.

“Dalam kes Kelantan FA dan Sarawak FA, lesen kebangsaan diberikan dengan bersyarat disebabkan beberapa jaminan yang diperlukan daripada pihak ketiga.

“Kedua-dua pasukan telah mengemukakan dokumen sokongan yang menunjukkan jaminan untuk semua perkara yang tertunggak dan akan dipantau untuk memastikan semua jaminan itu dipenuhi. Jika ada yang gagal, lesen kebangsaan mereka boleh dibatalkan.

“Ketiga-tiga pasukan ini turut diberikan amaran oleh FIB dan telah dinasihatkan supaya lebih teliti dan memberi perhatian terhadap tarikh akhir yang telah ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman rasmi FAM hari ini.

Pada masa sama, Stuart berkata, Selangor United FC, PDRM FA dan Pulau Pinang FA yang diberikan lesen kebangsaan dengan bersyarat sebelum ini berjaya memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan.

“Bagi Liga Super, kami dengan suka citanya ingin memaklumkan bahawa Melaka FA dan PKNS FC yang sebelum ini diberikan lesen dengan bersyarat pada 27 September lalu telah berjaya memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan dan ia telah pun diluluskan oleh FIB.

“FAM selaku pemberi lesen mengambil langkah proaktif untuk membendung masalah tunggakan bagi 2019 seperti yang dimaklumkan pada mesyuarat FIB 27 September lalu.

Artikel Berkaitan:

“FAM cukup prihatin dengan situasi jika terdapat mana-mana pasukan mempunyai tunggakan pada 2019 ini yang mana kesnya belum dilaporkan lagi,” katanya.

Stuart memberitahu, pasukan-pasukan dikehendaki menyediakan Surat Akuan Berkanun pada 15 Disember depan untuk mengisytiharkan bahawa jika mereka mempunyai sebarang bayaran tertunggak pada tarikh berkenaan dan pelan untuk melunaskan hutang-hutang tersebut.

Menurutnya, ia bagi memastikan tiada sebarang tunggakan dari 2019 yang akan dibawa ke musim 2020.

“FAM ingin mengingatkan semua kelab walaupun mereka telah menerima lesen kebangsaan berdasarkan penyelesaian daripada sebarang tunggakan setakat 30 Jun lalu, sebarang tunggakan selepas 30 Jun lalu perlu diisytiharkan pelan penyelesaiannya selewat-lewatnya pada 15 Disember depan.

“Sebagai penambahan kepada pengisytiharan itu, Unit Pelesenan Kelab akan menjalankan pemeriksaan ke kelab-kelab tertentu bagi memastikan kelab mengambil prosedur tertentu untuk menyelesaikan bayaran tertunggak dan ia perlu selari dengan apa yang telah mereka isytiharkan,” ujarnya.