Mindset katak di bawah tempurung

A
A
A

Apa yang sedang rancak berdansa, berkomplot dan berlawan ialah arena politik kepartian yang korbankan mahupun etika Islam atau etika asabiyyah atau etika ideologi. Indonesia telah memalukan cara politik kepartian kita apabila Presiden Jokowi melantik musuh ketat parti pembangkang, Probowo menjadi Menteri Pertahanan.

Cuba anda tanya seorang ahli politik Israel soalan ini: "Siapakah musuh politik anda yang paling ketat?" Besar kemungkinan dia akan berkata, "Muslim!"

Sekarang cuba tanya seorang YB Malaysia tentang siapakah musuh paling ketat anda dalam politik. Besar kemungkinan bukan Israel. Masalah ahli politik kita ialah fokus mereka lebih kepada menjaga parti kerana parti menjaga periuk nasi mereka. Maka, mereka lebih mengutamakan politik lokal gaduh sesama sendiri daripada politik global.

Ahli politik Israel risau pasal Iran, Saudi dan mana-mana gerakan politik Muslimin yang semakin kuat. Amerika pula risau pasal China. Indonesia nampak peluang untuk menjadi super power di nusantara semakin besar bila ibu kota dipindahkan ke Kalimantan. Langkah geopolitik yang strategik.

Parti-parti politik Malaysia pula masih jual ubat di pasar lokal. Ada parti yang jual ubat Islamisme dan perkauman. Ada parti jual ubat liberalisme. Tetapi pada hakikatnya, parti itu tidak makan ubat yang mereka jual.

Lihat sahaja penjual ubat liberalisme. Mereka sedaya upaya cuba selamatkan pemimpin parti mereka yang dikaitkan dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE). Soalan rakyat mudah sahaja iaitu kalau pemimpinnya benar-benar tiada kaitan dengan LTTE, cuba keluarkan kenyataan rasmi yang jelas bahawa LTTE adalah pengganas sebagaimana yang telah diisytiharkan oleh Ketua Polis Negara. Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Apa yang sukarnya untuk keluar kenyataan bahawa LTTE adalah pengganas kalau memang bukan ahlinya. Ini menimbulkan keraguan rakyat terhadap parti liberalisme. Kalau benar memperjuangkan liberalisme, maka ketelusan menjadi dasar wajib. Mengapa bersifat begitu 'illiberal' sekarang bila tiba soal LTTE?

Bagi parti Islamisme pula, sejauh manakah mereka benar-benar memperjuangkan tauhid? Tauhid adalah tunggak Islam, bukan hudud. Tetapi tiada usaha daripada parti itu untuk melawan gejala taksub buta kepada 'tuan guru'. Gejala itu sudah menjadi budaya perdana sebagaimana ia menjadi lubang biawak Yahudi yang taksub kepada pendeta mereka.

Artikel Berkaitan:

Budaya taksub menjadikan ahlinya berkorban jiwa dan raga demi parti kerana parti adalah Islam dan Islam adalah parti bagi mereka. Bila tuan guru mereka kata wajib taat, maka wajib taatlah. Menyoal perintah tuan guru adalah haram.

Kalau dulu kerjasama dengan parti asabiyyah adalah haram kerana tuan guru kata haram. Sekarang sudah halal kerana tuan guru kata halal.

Parti asabiyyah pula tidak mengaku rasis membuat kempen BMF (Buy Muslim First). Kalau benar sokong produk Muslimin, bagaimana pula kalau Bangladesh Muslim dan Indonesia Muslim semakin maju bisnesnya di Malaysia sehingga menakluk ekonomi Malaysia? Adakah parti BMF itu akan hidup bahagia?

Lagipun mengapa fokus pada beli? Ini mindset konsumerisme yang memang sudah teruk melanda umat kita. Mengapa tidak inovasi?

Mengapa tidak membuat kempen inovasi? Ini adalah kerana parti politik kita tidak melihat pesaing paling utama mereka ialah Israel. Mereka tidak nampak kekuatan global Israel kerana rakyat marhaen merasakan Israel itu terletak jauh daripada kita.

Kita lebih terusik oleh apa yang berada di depan mata kita. Inilah mindset katak di bawah tempurung. Rakyat tidak rasa suatu kewajipan untuk berusaha kuat menjadi pengeluar berinovasi kerana rasa masalahnya sekarang hanya masalah kita utamakan beli kicap kafir, bukan Muslim! Isu beli, beli, beli sahaja.

Persoalannya ialah katak bukan sekadar rakyat marhaen tetapi juga Majlis Profesor negara kita? Sejauh manakah mereka benar-benar mampu berfikir memperkasakan universiti kita dengan memperkasakan budaya inovasi? Adakah mereka reda hanya menjadi konsumer Taksonomi Bloom selama-lamanya walaupun Benjamin Bloom banyak berkhidmat untuk kejayaan pendidikan Israel menjadikan Israel negara inovasi terhebat dunia tetapi pada masa sama melahirkan manusia berakhlak Darwinisme?

*Xifu Naser ialah Tokoh Pendakwah Perak