Hentikan permusuhan politik kepartian - Sultan Mizan

Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan bertitah pada perasmian Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Terengganu di Dewan Besar, Wisma Darul Iman pada Rabu. - Foto: Bernama
Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan bertitah pada perasmian Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Terengganu di Dewan Besar, Wisma Darul Iman pada Rabu. - Foto: Bernama
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah sentimen mementingkan diri, semangat berpuak-puak dan bermusuhan disebabkan perbezaan fahaman politik kepartian tidak sepatutnya terus berlaku di negeri ini.

Baginda turut mendoakan supaya negeri ini mempunyai masyarakat yang mengutamakan kerukunan, kedamaian serta kesepakatan dalam menghadapi pelbagai cabaran hidup mendatang sekali gus melahirkan umat Islam yang benar-benar bertakwa kepada ALLAH SWT.

"Kita sedia maklum negara kita umumnya dan Terengganu khususnya mempunyai masyarakat yang berbilang agama, kaum, budaya dan bangsa.

"Dengan kepelbagaian unik ini, beta menyeru supaya seluruh rakyat jelata sama ada beragama Islam dan bukan Islam di Terengganu supaya saling hormat menghormati atas perbezaan dan kepelbagaian tersebut.

"Selain itu, menjaga keharmonian dan perpaduan sesama kita dengan tidak menimbulkan isu-isu yang menyentuh sensitiviti agama dan bangsa di mana kesannya akan menyebabkan perpaduan di kalangan rakyat jelata semakin jauh," titah baginda.

Baginda bertitah pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Terengganu di Dewan Besar, Wisma Darul Iman di sini pada Rabu.

Majlis berkenaan turut dihadiri Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah dan Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail serta Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Sultan Mizan juga bertitah umat Islam diingatkan perlu menunjukkan contoh terbaik kepada masyarakat bukan Islam dengan menjadikan peristiwa hijrah Rasulullah SAW sebagai pengajaran dan iktibar dalam menjalani kehidupan bermasyarakat di muka bumi ini.

Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Terengganu 1445H/2023M disambut sederhana dengan penyampaian pelbagai anugerah bagi meraikan pencapaian individu dan organisasi dalam bidang tertentu.

Tiada pemenang bagi anugerah utama iaitu Tokoh Maal Hijrah Terengganu pada tahun ini.

Antara anugerah yang berikan pada tahun ini ialah Tokoh Dakwah; Tokoh Hafiz dan Hafizah; Tokoh Saudara Baru dan Aktivitis Saudara Kita; Tokoh Orang Kurang Upaya; Anugerah Keluarga Lengkap Mithali; Anugerah Masjid Kerajaan Terrbaik dan Anugerah Masjid Mukim Terbaik.

Anugerah Tokoh Dakwah dimenangi oleh pendakwah bebas, Wan Junaidi Wan Jaafar yang berasal dari Besut dengan membawa pulang hadiah termasuk sijil dan wang tunai RM10,000.

ARTIKEL BERKAITAN:Maal Hijrah: Sultan Kedah titah jangan bangkit isu gugat perpaduan

Maal Hijrah: Jauhi hasad dengki, amalan fitnah - Agong

Bekas Ketua Pengarah IKIM Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan

Maal Hijrah: Tingkat azam pupuk visi, misi hidup lebih baik

Doa Sultan Nazrin, hijrah bersengketa kepada berdamai

Umat Islam perlu kuasai disiplin ilmu, teroka kejayaan