Lupakan apa yang dah berlaku - Dominic

No Image Caption
A
A
A

BAYAN LEPAS - Lupakan apa yang sudah berlaku dan mari noktahkan semua salah faham demi mendapat mandat rakyat pada 12 Ogos nanti.

Seruan itu disuarakan Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai sebagai reaksi kepada permohonan maaf Pas berikutan insiden beliau dihalang untuk hadir Ceramah Mega PN Best di Tasek Gelugor baru-baru ini.

Timbalan Presiden Perikatan Nasional (PN) itu berkata, beliau menerima apa yang berlaku dengan hati terbuka dan menerima permohonan maaf Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

"Apa yang berlaku hanyalah kesilapan kecil dan sebagai manusia kita tak pernah lari daripada melakukan kesilapan.

"Oleh itu saya telah maafkan isu ini, tapi apa yang saya nak katakan ayuhlah letakkan titik noktah sekarang, 'move on' dan kembali meraih sokongan rakyat," katanya ketika ditemui di sini pada Jumaat.

Terdahulu, Pas memohon maaf dan merakamkan rasa kurang selesa berhubung insiden yang membabitkan Dominic yang didakwa 'dihalau' ketika Ceramah Mega PN Best di Tasek Gelugor.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, walaupun Dominic kemudiannya dilaporkan menolak dakwaan tersebut, namun pihak kepimpinan Pas Pusat percaya kehadiran beliau perlu diterima dan dihargai sebagai tetamu berdasarkan akhlak dan prinsip-prinsip Islam.

Katanya, selain itu, parti pimpinan Gerakan juga merupakan rakan gabungan dalam Perikatan Nasional (PN) dan beliau sendiri merupakan calon dalam pilihan raya negeri (PRN) dan sewajarnya diberikan penghormatan.

Menurut Takiyuddin, dalam suasana politik semasa yang dicemari naratif cauvinis dan melampau, maka sebagai sebuah parti Islam tertua dan besar, Pas percaya menjadi bertanggungjawab bukan sahaja untuk menunjuk arah kepada politik matang dan sederhana, malah memberi pertolongan serta perlindungan kepada pihak yang memerlukan.