PGA Tiger Platoon bantu jejak pemburu haram

Tan Sri Abdul Hamid Bador
Tan Sri Abdul Hamid Bador
A
A
A

TAWAU - Unit ‘Tiger Platoon’ dari Pasukan Gerakan Am (PGA) di Sabah diberi tanggungjawab sebagai barisan hadapan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membantu pihak berkuasa melindungi hidupan liar dan alam flora di negeri ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, pasukan gerakan khas itu akan digerakkan melakukan rondaan dan penjejakan serta serbuan bersama pegawai penguatkuasa termasuk daripada Jabatan Hidupan Liar dan Jabatan Perhutanan Sabah terhadap individu tidak bertanggungjawab.

“Ini bukan setakat di Sabah tetapi juga di Sarawak, saya mengisytiharkan perang terbuka kepada pihak tidak bertanggungjawab ini, di Sabah kelima-lima batalion PGA diberi tanggungjawab memerangi kegiatan pemburu haram serta mencuri khazanah hutan dari spesis tertentu.

“Kita melihat kejayaan di Semenanjung Malaysia dengan siri tangkapan warga Cambodia, Thailand, Vietnam serta warga tempatan selepas dua batalion PGA Senoi Praaq membantu Jabatan Perhilitan dan Jabatan Perhutanan mengekang pemburu haram,” katanya.

Abdul Hamid berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Surat Penghargaan Ketua Polis Negara kepada 16 penerima anggota dan pegawai PGA di Markas Batalion 14 PGA Tawau hari ini.

Dalam pada itu, pihaknya akan bekerja keras memastikan kes yang ditangkap dibawa ke mahkamah bagi mendapatkan sabitan dan hukuman undang-undang.

“Kita akan buat susulan dengan pihak pendakwa raya untuk memastikan kes tersebut tidak akan terlepas daripada hukuman undang-undang.

“Saya akan buru mereka, kita tidak akan terhenti ke atas kes melibatkan individu biasa tetapi juga sekiranya terdapat bukti VVIP terlibat sentiasa menggunakan kedudukan mereka untuk menceroboh dan mencuri (khazanah hutan) kita akan ambil tindakan sama. Saya akan pastikan mereka turut sama mendapat sabitan dan dihukum oleh undang-undang,” katanya lagi.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, katanya akan turut menyakinkan kepada Jabatan Peguam Negara dan kerajaan berkaitan keperluan mandatori sebatan sebagai tindakan tegas dikenakan terhadap pemburu haram dan individu menzalimi haiwan.

“Di pihak saya hukuman mandatori sebatan ke atas pesalah, saya harap hasrat ini menjadi realitii,” katanya lagi. - Bernama