Mahkamah tolak injunksi Putrajaya henti pencerobohan tanah orang asli

Ragumaren (tengah) dan Gurdial Singh (kiri) hadir bersama komuniti orang asli di Kompleks Mahkamah Kota Bharu di Tunjong di sini hari ini.
Ragumaren (tengah) dan Gurdial Singh (kiri) hadir bersama komuniti orang asli di Kompleks Mahkamah Kota Bharu di Tunjong di sini hari ini.
A
A
A

KOTA BHARU - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan injunksi Putrajaya untuk menghentikan lima syarikat swasta daripada terus menceroboh penempatan orang asli suku kaum Temiar di Pos Simpor, Gua Musang.

Keputusan dibuat Hakim Wan Ahmad Farid Wan Salleh sekali gus tidak memberikan perintah penahanan terhadap kerajaan Kelantan.

Peguam Putrajaya, Ragumaren Gopal berkata, mahkamah berpendapat sekiranya injunksi yang diminta oleh kerajaan Persekutuan dibenarkan maka secara tidak langsung memberi perintah penahanan kepada kerajaan negeri itu.

“Mahkamah berpendapat bahawa satu undang-undang yang mantap ialah tidak ada injunksi yang boleh diberikan terhadap kerajaan negeri mahupun Persekutuan secara langsung atau tidak langsung,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Wan Ahmad bagaimanapun dalam keputusan itu juga memutuskan bahawa lima syarikat atau ejen mereka hanya boleh menduduki dan menanam kira-kira 4,000 hektar sedia ada sahaja dan tidak boleh melakukan pencerobohan baharu sementara menunggu keputusan penuh berkait pertikaian itu.

Kerajaan Persekutuan sebagai plaintif memfailkan tuntutan pada 16 Januari lalu terhadap Fleet Precision Sdn Bhd, Koperasi Kijang Mas Negeri Kelantan Bhd, KPG Maju Enterprise Sdn Bhd, Ringgit Saksama (M) Sdn Bhd dan M7 Plantation Bhd sebagai defendan keempat hingga ke lapan.

Saman itu menamakan kerajaan Pas Kelantan sebagai defendan pertama diikuti Pengarah Tanah dan Galian Negeri Kelantan (kedua) dan Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan (ketiga).

Putrajaya memfailkan saman tersebut terhadap kerajaan Kelantan yang diketuai Pas dan agensinya kerana memberikan lesen pembalakan kepada syarikat swasta hingga membolehkan mereka memasuki tanah meliputi kira-kira 30,000 hektar yang diduduki orang asli Temiar di Pos Simpor, Gua Musang.

Artikel Berkaitan:

Kawasan hutan yang luas tersebut dilaporkan sudah dibersihkan untuk membuat ladang pokok durian dan getah.

Dalam kenyataan tuntutannya, Putrajaya berkata, tindakan defendan tersebut didakwa mewujudkan halangan kepada Orang Asli Temiar daripada memperoleh sumber asli dari tanah mereka menyebabkan hakisan, pencemaran dan kerosakan kepada ekologi serta landskap Pos Simpor yang sudah tidak dapat diperbaiki.

Negeri kemudiannya memfailkan permohonan untuk membatalkan saman atas alasan bahawa Putrajaya tidak mempunyai hak undang-undang untuk membawa kes itu.

Pada 20 Ogos, Wan Ahmad bagaimanapun menolak permohonan kerajaan negeri atas alasan pertikaian bukan sahaja antara kerajaan negeri dan Persekutuan malah turut melibatkan lima syarikat swasta.

Kerajaan negeri juga memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan.

Negeri menyatakan bahawa hanya Mahkamah Persekutuan mempunyai bidang kuasa untuk menyelesaikan pertikaian apabila melibatkan dua pihak berkuasa berdaulat.

Putrajaya diwakili oleh Gurdial Singh Nijar dan Ragumaren Gopal yang diberikan lesen khas oleh Peguam Negara Tommy Thomas.

Turut hadir ialah peguam kanan Persekutuan, Kamal Azira Hassan dan David Ragumaren.