Cubaan seludup 29 gelen petrol gagal

Muhammad (kanan) melihat tempat menyimpan sebahagian daripada gelen petrol yang dirampas.
Muhammad (kanan) melihat tempat menyimpan sebahagian daripada gelen petrol yang dirampas.
A
A
A

KOTA BHARU - Cubaan sebuah bot pancung menyeludup 29 gelen berisi minyak petrol bernilai RM1,508 berjaya digagalkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan melalui Ops Niaga Barat dan Op Damai di Kuala Tongkong, Tumpat, semalam.

Pengarahnya, Kepten Maritim Muhammad Nur Syam Asmawie Yaacob berkata, dalam kejadian 6.55 pagi itu, pihaknya mengesan sebuah bot pancung dengan tiga individu dipercayai warga asing berumur lingkungan 17 hingga 45 tahun dalam keadaan mencurigakan.

Muhammad (kiri) melihat gelen yang dipercayai dipenuhi minyak petrol.
Muhammad (kiri) melihat gelen yang dipercayai dipenuhi minyak petrol.

"Apabila kita menghampiri, bot itu bertindak melarikan diri menuju ke arah sempadan perairan negara.

"Bot ronda kita cuba untuk memintas bot pancung berkenaan dan akhirnya bot tersebut menukar arah menuju ke tepi pantai sebelum suspek yang berada di dalam bot terjun melarikan diri ke kawasan semak. Bot berkenaan berhenti pada jarak 740 meter dari Kuala Tongkong.

"Bot Kilat 17 Maritim Kelantan telah disekat bagi menghampiri kawasan pesisir menggunakan pukat timbul sepanjang 100 meter.

"Mereka juga sempat membuang lima gelen ke dalam laut dan gelen tersebut dipercayai mempunyai barang yang lebih berharga," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Menurutnya, pihaknya terdiri daripada enam anggota termasuk pegawai telah membuat pemeriksaan lanjut pada bot berkenaan dan mendapati ia menggunakan tiga enjin berkuasa tinggi.

Artikel Berkaitan:

Antara barang rampasan dalam bot berkenaan.
Antara barang rampasan dalam bot berkenaan.

Beliau berkata, bot pancung berserta petrol telah dibawa ke Jeti Ibu Pejabat Maritim Kelantan dan kes disiasat mengikut Seksyen 21, Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana menyimpan barang kawalan dengan niat melakukan kesalahan.

"Pihak kami akan melipatgandakan lagi usaha membasmi sebarang aktiviti penyeludupan dan memberikan amaran keras kepada penyeludup agar menghentikan kegiatan ini kerana ia sangat merugikan negara.

"Kita memohon supaya komuniti laut dan sahabat nelayan sentiasa melaporkan sebarang pelanggaran undang-undang negara yang berlaku di perairan Kelantan terutamanya melalui talian MERS 999 atau 09-7780070 supaya jenayah laut dapat dibanteras," katanya.