Bekalan air di Hulu Langat, KL dijangka pulih sepenuhnya Ahad ini

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kawasan Hulu Langat dan Kuala Lumpur yang mengalami gangguan bekalan air ekoran masalah teknikal ‘bandscreen’ (sistem penapisan air mentah) di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Langat dijangka pulih sepenuhnya Ahad ini.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam kenyataan memaklumkan bahawa jangkaan dibuat selepas kerosakan ‘bandscreen’ di LRA tersebut dapat diatasi apabila kerja pembaikan selesai dilakukan hari ini.

"Proses bagi meningkatkan tekanan serta menstabilkan paras kolam-kolam perkhidmatan dan aliran di sistem agihan sedang giat dilaksanakan bagi proses pemulihan bekalan secara berperingkat.

"Masa pemulihan bergantung kepada lokasi geografi dan altitud premis pelanggan.

"Bantuan lori-lori tangki air akan terus digerakkan dan Pusat Khidmat Setempat (PKS) beroperasi 24 jam sehari sehingga bekalan pulih sepenuhnya," menurut Air Selangor.

Maklumat lanjut mengenai gangguan bekalan itu boleh dirujuk melalui aplikasi Air Selangor atau melayari www.airselangor.com.

"Pelanggan juga boleh menghubungi kami di talian 15300 untuk bantuan atau menghantar pesanan WhatsApp ke 019-281 6793 /019-280 0919 bagi kes kritikal dan kecemasan," kata kenyataan itu.

Pagi tadi, gangguan air tidak berjadual berlaku di 156 kawasan di Hulu Langat dan Kuala Lumpur sehingga menyebabkan pengurangan pengeluaran air terawat sebanyak 179 juta liter sehari. - Bernama

Artikel Berkaitan: