Gangguan bekalan gula akibat masalah teknikal

Affendi (empat dari kiri) bersama beberapa pemborong selepas mesyuarat bersama pemborong gula Kedah di Pejabat KPDN Kedah, Wisma Persekutuan, Anak Bukit pada Isnin.
Affendi (empat dari kiri) bersama beberapa pemborong selepas mesyuarat bersama pemborong gula Kedah di Pejabat KPDN Kedah, Wisma Persekutuan, Anak Bukit pada Isnin.
A
A
A

ALOR SETAR -Gangguan bekalan gula paket satu kilogram (kg) di Kedah dikenal pasti akibat masalah teknikal melibatkan kerja pembaikan di sebuah syarikat pengeluar gula.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah, Affendi Rajini Kanth berkata, masalah teknikal terbabit menyebabkan berlaku pengurangan pengeluaran gula daripada 400 metrik tan sehari kepada 250 metrik tan sehari pada minggu lepas.

Bagaimanapun, Affendi berkata, gangguan bekalan gula dijangka akan kembali pulih kepada asal bermula 1 Jun ini.

"Melalui semakan dengan pengilang gula di Kedah, kita dapati terdapat sedikit pengurangan dari segi penyediaan ataupun pembekalan gula di kilang itu sendiri.

"Biasanya, (pengeluaran) dalam 400 metrik tan tetapi berkurangan sehingga (mencecah) 250 metrik tan untuk tempoh seminggu dua ini berpunca daripada (kerja) pembaikan di kilang tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mesyuarat bersama pemborong gula Kedah di Pejabat KPDN Kedah, Wisma Persekutuan, Anak Bukit pada Isnin.

Dalam pada itu Affendi memberitahu, pihak kilang telah memberi aku janji dan bersetuju bahawa mereka akan berusaha sedaya upaya memastikan bekalan gula kembali kepada asal bermula 1 Jun nanti.

"Kita akan pastikan bahawa minimum lebih kurang 400 metrik tan seperti yang dijanjikan itu dapat bergerak ke dalam pasaran dan ini akan memulihkan kembali bekalan gula seperti sediakala," katanya.

Tambah beliau,KPDN Kedah sudah pun mengenal pasti punca gangguan itu sekali gus telah mencari jalan penyelesaian bagi memastikan masalah bekalan gula diselesaikan dalam masa terdekat ini.

Affendi turut menafikan dakwaan akan berlakunya kenaikan harga barangan mentah itu hingga menyebabkan gangguan bekalan gula di Kedah.

"Khabar angin berkaitan dengan kenaikan harga gula ini adalah satu kekeliruan, yang mana timbul akibat daripada kewujudan cadangan gula premium ini.

Beliau menjelaskan, masalah gangguan bekalan gula di Kedah ketika ini berpunca daripada pengilang itu sendiri apabila pengeluaran gula terjejas.

"Masa untuk pulih itu ia ambil masa sedikit akibat daripada beberapa urusan dan bila kita temui punca utama ini (dan) kita telah cari jalan untuk menyelesaikanlah," ujarnya.

Sementara itu, Affendi berkata, pihaknya mendapati bekalan gula di Kedah semakin stabil, bagaimanapun sentiasa sedaya upaya untuk mengatasi setiap aduan dan memastikan mereka menerima bekalan barangan keperluan itu.

Tambahnya lagi, bekalan gula di beberapa daerah seperti Langkawi, Kubang Pasu dan Sungai Petani kini telah kembali pulih bagi memenuhi keperluan pengguna.

Dalam perkembangan sama, Affendi berkata, beliau turut menerima makluman tentang penetapan syarat iaitu pembelian gula premium didakwa perlu disekalikan dengan pembelian gula kasar.

"Tidak ada sebarang syarat yang diperakukan di pihak kementerian dan kita tidak akan bekerjasama ataupun berkompromi dengan apa-apa syarat dikenakan sama ada kepada pembeli ataupun mana-mana pihak dalam isu penjualan gula ini," jelasnya.

Beliau berkata, KPDN Kedah tidak menghalang peruncit ataupun pemborong yang melakukan catuan sekiranya ingin memastikan semua pihak mendapat bekalan gula sekali gus mengelakkan pembelian panik.

"Cumanya, kalau letakkan syarat beli gula premium baru dapat gula kasar, itu tidak boleh di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961. Kita tidak benarkan dan tidak beri kelulusan untuk berbuat demikian," katanya.