Pahang wujudkan kembali JKKK jika MPKKP diperkenalkan

Wan Rosdy dan Keratan Sinar Hairan 30 Oktober lalu.
Wan Rosdy dan Keratan Sinar Hairan 30 Oktober lalu.
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang akan mewujudkan kembali Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di 524 kampung di negeri jika pimpinan PH meneruskan keputusan mewujudkan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Persekutuan (MPKKP).

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan negeri masih berpegang kepada ketetapan kerajaan persekutuan sebelum ini mengenai pembentukan MPKK dengan tambahan lima wakil PH di negeri ini.

Beliau berharap kerajaan terus kekal dengan ketetapan dan pendirian asal itu atau kerajaan negeri akan mewujudkan kembali JKKK.

"Usaha untuk mewujudkan MPKKP sebagai sebuah lagi entiti pengurusan di kawasan dilihat satu lagi pusingan-U oleh Kerajaan Persekutuan.

"Kerajaan negeri membantah keputusan ini kerana ia satu tindakan negatif yang boleh memecah-belah penduduk kampung terutama kaum Melayu," katanya melalui satu kenyataan hari ini.

Wan Rosdy berkata, MPKK diperkenalkan bagi menggantikan JKKK selepas PH mengambi alih pentadbiran negara dan Pahang di bawah pimpinan BN akur dengan menubuhkan 542 MPKK di seluruh negeri ini.

"Sebagai mematuhi keputusan Kabinet itu, kerajaan negeri menerima lima wakil daripada PH untuk menganggotai setiap 542 MPKK tersebut.

"Bagaimanapun, sehingga kini nama wakil berkenaan belum diperoleh daripada PH menerusi Kementerian Pembangunan Luar Bandar," katanya.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Penduduk berpecah jika MPKKP diwujudkan: Exco Pahang

Beliau berkata, justeru pengisian lima wakil PH ini belum dilaksanakan bagi melengkapkan keanggotaan setiap MPKK.

"Terkini ada laporan menyebut MPKKP akan diwujudkan di Kelantan ekoran masalah dihadapi di negeri itu dan di Pahang seperti yang dipetik daripada kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh baru-baru ini.

"Kerajaan negeri melalui Bahagian Khidmat Pengurusan (BKP) di Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang cuba mendapatkan kepastian mengenai ura-ura penubuhan MPKKP tetapi sehingga kini belum menerima maklum balas mengenainya," katanya.