X

Kindly register in order to view this article
!

Bicara kes saman Waytha Moorthy mula 8 Jun

Lokman (kiri) dan Waytha Moorthy
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan tiga hari bermula 8 Jun tahun depan untuk perbicaraan kes saman fitnah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy terhadap Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam berhubung ucapan berbaur fitnah membabitkan kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Seri Latifah Mohd Tahar menetapkan tarikh itu di dalam kamarnya dengan dihadiri peguam Ng Kien Hann Tristan mewakili Waytha Moorthy manakala peguam N Logendran bertindak bagi pihak Lokman Noor.

Kien Hann ketika ditemui pemberita berkata, mahkamah menetapkan 8, 9 dan 10 Jun untuk perbicaraan manakala 20 Januari tahun hadapan ditetapkan untuk pengurusan kes.

Sementara itu, Logendran berkata, pihaknya akan mengemukakan senarai saksi untuk perbicaraan kepada mahkamah sebelum pengurusan kes itu.

"Proses mediasi (bagi membincangkan penyelesaian saman) masih belum diputuskan, jadi ketika ini mahkamah tetapkan tarikh perbicaraan dan pengurusan kes selanjutnya," katanya.

Waytha Moorthy selaku plaintif memfailkan saman itu pada 26 April lepas dengan menamakan Lokman Noor, 46, sebagai defendan.

Dalam penyataan tuntutan, Waytha Moorthy menteri yang bertanggungjawab dalam perpaduan negara dan kesejahteraan sosial, mendakwa defendan telah berucap pada perhimpunan bantahan di ibu negara yang dihadiri kira-kira 100 peserta dan menyebabkan ucapannya dimuat naik dalam laman Facebooknya yang telah mendapat paparan sebanyak 55,000 dan dikongsi sebanyak 1,658 setakat 18 April lepas.

Dakwa plaintif, ucapan fitnah itu diterbitkan menerusi dua video yang dimuat naik melalui saluran YouTube antaranya bertajuk 'Beberapa menteri cuba ubah laporan bedah siasat Adib, dakwa Lokman'.

Plaintif juga mendakwa ucapan fitnah itu turut diterbitkan di dalam empat artikel antaranya bertajuk 'Lokman dakwa beberapa menteri cuba ubah laporan bedah siasat Adib' dan 'Waytha Moorthy antara menteri minta ubah keputusan bedah siasat Adib' di beberapa portal berita bertarikh 4 Januari dan 5 Januari lepas.

Dakwanya, kenyataan fitnah itu antara lain bermaksud beliau seorang menteri yang tidak jujur, cuba memanipulasi laporan perubatan berkaitan kematian Muhammad Adib, gagal melaksanakan tugas sebagai menteri yang bertanggungjawab dalam perpaduan nasional dan kesejahteraan sosial selain menghasut rusuhan di Kuil Sri Mariamman di USJ Subang.

Menteri itu juga mendakwa kenyataan fitnah itu adalah tidak benar dan menyebabkan reputasinya sebagai menteri dan senator Dewan Negara terjejas.

Lokman Noor dalam penyata pembelaan difailkan pada 3 Julai lepas, menafikan ucapannya pada perhimpunan itu memfitnah menteri tersebut dan mendakwa ucapan berkenaan adalah satu komen berpatutan dan dibuat berdasarkan fakta dengan niat untuk kepentingan orang ramai. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!