Sumairi buka peluang kepada OKU penglihatan pelajari al-Quran

SUMAIRI mengajar Iqra' Braille kepada kanak-kanak OKU penglihatan.
A
A

“SAYA tidak mahu rumah sekadar tempat kediaman. Saya hendak hidupkan aktiviti al-Quran dengan membuka Rumah Ngaji di rumah sendiri di Desa Pinggiran Putra, Kajang, Selangor.”

Demikian niat murni yang disuarakan penggerak Rumah Ngaji @ Ibnu Ummi Maktum, Sumairi Zainol, 45, ketika berkunjung ke pejabat Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Shah Alam, Selangor bersama isterinya, Rahimah Muhammad Nor, 32.

Beliau berkongsi inspirasi membuka kelas mengaji untuk golongan orang kurang upaya (OKU) penglihatan. Ujar beliau, nama Ibnu Ummi Maktum diambil daripada nama seorang sahabat Rasulullah SAW yang buta.

"Kisah beliau disebut dalam Surah ‘Abasa yang mana ALLAH mengangkat golongan OKU penglihatan berdiri sama tinggi dengan orang normal. Saya menyedari ramai orang buta menghadapi kesukaran untuk mengikuti kelas ngaji al-Quran. Dengan membuka Rumah Ngaji @ Ibnu Ummi Maktum, ia memberi peluang kepada golongan itu untuk mempelajari ilmu al-Quran,” ujar beliau memulakan bicaranya dengan Sinar Islam.

Bapa kepada seorang anak itu mendapat pendidikan awal di sekolah pendidikan khas di Pulau Pinang dan di sebuah sekolah menengah kebangsaan di Alor Setar, Kedah.

Selepas tamat tingkatan 6, beliau melanjutkan pelajaran di Maahad Tahfiz Al-Quran Derga, Alor Setar selama empat tahun dan mengajar di tempat yang sama selama tiga tahun.

Kini, beliau merupakan guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di Sekolah Kebangsaan Putrajaya, guru al-Quran di Sekolah Menengah Kebangsaan Pendidikan Khas Setapak, tenaga pengajar di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya dan Surau Al-Kahfi di Batu Caves, Kuala Lumpur.

“Saya bersyukur kerana pergerakan saya banyak dibantu isteri untuk ke tempat mengajar. Sebenarnya, ramai orang OKU penglihatan terutamanya golongan kanak-kanak yang kurang mendapat akses belajar ngaji al-Quran Braille.

“Mereka perlu diberi pendedahan awal mengenai al-Quran bermula dengan mengenal huruf hijaiyah dan tanda baris. Selepas itu, barulah diajar Iqra’ Braille diikuti dengan al-Quran Braille," katanya yang mengajar lima pelajar OKU berusia lapan dan 16 tahun di rumahnya di Kajang.

Ujar lelaki berhati cekal itu, pelajar-pelajarnya begitu berminat mempelajari al-Quran Braille dan ada dalam kalangan mereka yang dilihat berpotensi untuk pergi lebih jauh.

“Alhamdulillah, saya menerima dana daripada kalangan rakan dan orang ramai untuk membiayai pelajar saya. Saya pun tidak kisah berapa kali mereka datang asalkan ada keinginan untuk belajar,” katanya.

Rintangan ditangani

Sumairi melibatkan diri secara serius dengan al-Quran bermula daripada proses pembelajaran. Beliau mengakui bukan mudah untuk belajar al-Quran Braille. Pelbagai inisiatif yang diambil untuk mendekati al-Quran.

“Saya belajar menambah baik bacaan al-Quran dan tajwid di madrasah sebelum ini, selain berguru dengan kawan secara tidak formal. Kini, saya berpuas hati kerana dapat mengajar orang yang senasib dengan saya.

“Jika mereka tidak pandai dalam bidang akademik, sekurang-kurangnya ilmu al-Quran tersebut boleh dibawa dalam kehidupan mereka dan diajarkan kepada orang lain. Al-Quran untuk semua. Orang yang buta boleh mengajar orang celik dari segi sebutan dan fasahah.

“Sebenarnya ramai kalangan orang OKU menghadapi cabaran dari segi jarak untuk datang ke tempat kelas ngaji. Saya membantu mereka untuk mengajar secara online melalui aplikasi Whatsapp dan panggilan tanpa had dengan menggunakan kaedah mendengar serta menggunakan Iqra’ Braille,” ujar beliau.

GOLONGAN remaja teruja menyertai aktiviti Rumah Ngaji @ Kowada, Seksyen 15, Shah Alam baru-baru ini.
GOLONGAN remaja teruja menyertai aktiviti Rumah Ngaji @ Kowada, Seksyen 15, Shah Alam baru-baru ini.

Memandangkan Sumairi turut mengajar al-Quran Braille secara atas talian, beliau mempunyai pelajar di merata tempat termasuk Kedah, Pahang dan Terengganu. Kebanyakan mereka sudah mempunyai asas Braille.

Beliau berharap, inisiatif tersebut dapat menarik minat lebih ramai OKU untuk membaca al-Quran. Sesiapa yang berminat untuk belajar al-Quran Braille boleh menghubungi Ustaz Sumairi di talian 013-430 5507.

Platform Rumah Ngaji untuk masyarakat

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pendukung Wawasan Negara (Pewana), Zaini Ibrahim menyambut baik usaha Rumah Ngaji dengan membuka 10 lokasi di seluruh Malaysia.

Pewana ialah badan bukan kerajaan yang memfokuskan kepada pendidikan, kebajikan dan ekonomi yang menyasarkan semua peringkat umur. Bagi beliau, Rumah Ngaji menjadi peluang untuk kita memberikan perkhidmatan mengaji secara percuma.

Antara Rumah Ngaji di bawah Pewana iaitu Rumah Ngaji @ Triojaya, Bandar Puteri Klang; Rumah Ngaji @ FST Learning Centre di Jalan Kebun, Klang; Rumah Ngaji @ Darul Amin, Bukit Kuda; Rumah Ngaji @ Kowada, Seksyen 15, Shah Alam; Rumah Ngaji @ Darul Islah, Meru; Rumah Ngaji @ Darul Izwa, Jalan Berangan, Padang Jawa; Rumah Ngaji @ Darul Qayyum, Bukit Hijau; Rumah Ngaji @ Darul Fuqaha, Taman Rashna, Klang; dan Rumah Ngaji @ Darul Aman Luhur, Jalan Kundang, Padang Jawa.

SUMAIRI (kiri) dan Zaini sama-sama memberi sokongan kepada kempen Reboot Malaysia.
SUMAIRI (kiri) dan Zaini sama-sama memberi sokongan kepada kempen Reboot Malaysia.

“Kami mengambil serius terhadap platform Rumah Ngaji untuk mengajak orang ramai mendekati al-Quran. Penggerak kami terdiri daripada mereka yang berkelulusan dan mendapat pengiktirafan daripada jabatan agama Islam dan institusi pengajian tinggi.

“Pewana yang bersinergi dengan Universiti Malaya telah melahirkan 120 pelajar yang berusia antara 15 hingga 74 tahun dan lulus bacaan al-Quran, usuluddin dan syariah. Mereka mengikuti kelas tersebut pada setiap Sabtu dari jam 2 hingga 6 petang di pejabat Pewaba, Klang.

“Melihat perkembangan dunia pada hari ini, golongan anak remaja perlu dibekalkan dengan agama terutamanya al-Quran. Suka atau tidak, ia menjadi tanggungjawab kita untuk membawa visi dan misi ke arah pendidikan,” katanya.

Dalam pada itu, Zaini berkata, Pewana bercadang untuk membuka tujuh lagi Rumah Ngaji menjelang akhir tahun ini.

“Saya berharap masyarakat mengambil peluang untuk mengaji bersama. Usaha tersebut merupakan amal jariah dalam kalangan ahli program yang bersifat keagamaan ini,” katanya.