Urusan Pharmaniaga terus berjalan sementara tunggu keputusan Kabinet

Pharmaniaga
Pharmaniaga
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perniagaan Pharmaniaga Bhd berjalan seperti biasa walaupun ia sedang menunggu keputusan muktamad kabinet mengenai konsesi pengedaran ubat-ubatan syarikat itu kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Syarikat itu dalam satu kenyataan turut melahirkan keyakinan bahawa ia masih mampu memberikan perkhidmatan kepada negara walaupun KKM telah menyatakan hasrat untuk menamatkan konsesi perkhidmatan logistik dan pengedaran bekalan perubatan melalui pengenalan sistem tender yang lebih terbuka.

"Memandangkan kerajaan menaruh keyakinan terhadap meritokrasi, Pharmaniaga yakin bahawa prestasinya akan menjadi faktor utama dalam meneruskan perkhidmatan sama ada melalui pelanjutan konsesi atau kontrak tender terbuka," kata syarikat berkenaan.

Media hari ini melaporkan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad telah mengumumkan bahawa kementeriannya akan menamatkan sebarang konsesi pengedaran dan bekalan ubat-ubatan.

Beliau akan membentangkan perkara itu kepada kabinet bagi mencari mekanisme untuk tender terbuka, yang dijangka akan siap menjelang suku pertama tahun depan.

Pharmaniaga merupakan pemegang konsesi tunggal dalam perkhidmatan ini dan konsesinya akan berakhir menjelang 30 November.

Bagaimanapun, perkhidmatannya akan dilanjutkan sementara menunggu keputusan kabinet, untuk memastikan bekalan perubatan dan perkhidmatan kesihatan tidak terganggu. - Bernama

Artikel Berkaitan: