'Tinggal berasingan tapi sentiasa dekat'

Arul Kumar (tiga dari kanan) menyampaikan cek sumbangan faedah pengurusan mayat PERKESO kepada Kamarul Shima sambil diperhatikan Nallusamy.
Arul Kumar (tiga dari kanan) menyampaikan cek sumbangan faedah pengurusan mayat PERKESO kepada Kamarul Shima sambil diperhatikan Nallusamy.
A
A
A

SEREMBAN – “Walaupun tinggal berasingan tapi masih berada dalam lingkungan ahli keluarga. Mereka akan sentiasa dekat dan tidak akan dipisahkan,” kata Kamarul Shima Kamarudin,43, kakak kepada Allahyarham Kamarul Sharizam,40, yang meninggal dunia tiga jam selepas pulang daripada menunaikan umrah Selasa lalu.

Menurutnya, sebagai anak sulung dia bertanggungjawab memastikan keadaan enam anak Allahyarham berada dalam keadaan baik dan terjaga.

“Walaupun masing-masing sudah ada penjaga. Tapi kami enam beradik tetap pikul tanggungjawab bersama terutama dalam soal memastikan keperluan pendidikan mereka terjaga.

“Bagi saya itu adalah amanah Allahyarham dan sehingga kini keadaan mereka baik sahaja,”katanya ketika ditemui selepas menerima sumbangan Faedah Pengurusan Mayat daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) disampaikan oleh Exco Kesejahteraan Bandar, Perumahan Kerajaan Tempatan dan Sumber Manusia, Perladangan dan Hal Ehwal Bukan Islam, J Arul Kumar.

Sementara itu Pengarah Perkeso Negeri Sembilan, M Nallusamy berkata, enam anak arwah layak menerima faedah pencen penakat setiap bulan sehingga berusia 21 tahun.

Beliau berkata, bayaran faedah berkenaan akan dibayar melalui Kamarul Shima yang dipilih sebagai pemegang amanah.

“Memandangkan dua daripada anak pencarum adalah orang kurang upaya (OKU), jadi mereka layak menerima faedah pencen penakat seumur hidup.

“Kita berharap faedah diterima dapat membantu perbelanjaan keluarga menguruskan anak-anak arwah,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Selain kisah pemergian Allahyarham selepas pulang dari umrah tular, kesukarannya yang berdepan dengan pelbagai masalah kesihatan untuk membesarkan enam anaknya selepas berpisah dengan bekas isteri dua tahun lalu turut tular selepas dilaporkan sebuah akhbar.

Terdahulu Sinar Harian melaporkan Kamarul Shahril,35 yang merupakan adik Allahyarham memberitahu yang ramai tawarkan diri mahu mengambil anak Allahyarham sebagai anak angkat.

Katanya, anak sulung Allahyarham yang juga mengalami autisme, Muhammad Haikal akan menetap bersama adik bongsunya kerana rumahnya berdekatan dengan sekolah yang mempunyai kelas pendidikan khas.

“Dua anak arwah iaitu Muhammad Harraz Nasyriq,11 dan Muhammad Hazreen Nashriq, 9, akan ditempatkan di Pusat Jagaan Anak-Anak Yatim Walidaina yang diuruskan oleh adiknya.

“Sementara itu, Qaseh Irdina Qaisara, 7, dan Qaseh Nurqisha Irdani, 4, dijaga sepupu saya manakala Qaseh Al-Qausar, 2, dijaga jiran yang rapat dengan kami dan kini sedang melengkapkan proses mengambilnya sebagai anak angkat,” katanya.