Perkiss platform terbaik didik pelajar budayakan 3R

Peserta Perkiss bersama tetamu kehormat yang hadir pada majlis itu hari ini.
Peserta Perkiss bersama tetamu kehormat yang hadir pada majlis itu hari ini.
A
A
A

PORT DICKSON - Pertandingan Kitar Semula Sekolah-Sekolah Peringkat Kebangsaan (Perkiss) menjadi platform terbaik untuk menggalakkan penglibatan sekolah dalam membudayakan amalan 3R iaitu pengurang, guna semula dan kitar semula.

Pengarah SWCorp Negeri Sembilan, Nordin Amat berkata, ianya juga dapat menjana pendapatan dan menerapkan elemen inovasi melalui penghasilan produk baharu daripada barang terpakai.

"Pada tahun lalu, jumlah keseluruhan sekolah yang menyertai Perkiss di Semenanjung Malaysia ialah sebanyak 789 buah sekolah dengan nilai barangan kitar semula terkumpul berjumlah RM242,000 bersamaan 719,000 kilogram (kg) dan jumlah perkapita ialah 3,925kg.

"Manakala bagi tahun 2019, nilai keseluruhan kutipan kitar semula di sekolah ialah sebanyak RM469,000 iaitu bersamaan 1,431,342.76 kg," katanya pada Program Perkiss di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengurus cawangan SWCorp Seremban, Aminuddin Hamid Abd Hanan.

Nordin berkata, di Negeri Sembilan data kutipan barangan kitar semula di sekolah ialah sebanyak RM17,980.87 iaitu bersamaan 61,219.70 kg.

"Sehubungan itu, pada tahun ini secara keseluruhannya sebanyak 1,106 sekolah yang telah berdaftar di dalam Sistem Perkiss dan daripada bilangan tersebut sebanyak 359 sekolah aktif menjalankan program di sekolah.

"Di Negeri Sembilan, sebanyak 65 sekolah yang menyertai Perkiss. Jumlah sekolah yang aktif ialah sebanyak 31 buah sekolah melibatkan 18 buah sekolah rendah dan 13 buah sekolah menengah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau berkata, dalam menjadikan Negeri Sembilan sebagai sebuah negeri yang bersih dan indah, perubahan minda masyarakat adalah cabaran induk yang perlu diatasi.

"Kita mesti sedar bahawa kita semua memikul tanggungjawab dan amanah yang besar untuk memelihara amanat Pencipta demi meninggalkan warisan yang terbilang untuk generasi akan datang," katanya.

Terdahulu, majlis hari ini bagi menyampaikan penganugerahan kepada pemenang yang terpilih dengan menepati kriteria yang telah ditetapkan bagi kategori utama iaitu pengumpulan barang kitar semula, kategori anugerah khas iaitu pengumpulan barang kitar semula tertinggi mengikut jenis dan kategori inovasi.