Jalan Pintasan Cameron Highlands atasi masalah kesesakan

Wan Rosdy - Foto Bernama
A
A

KUANTAN - Kerajaan Negeri Pahang merancang membina Jalan Pintasan Cameron Highlands bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di daerah tersebut.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, rancangan membina Jalan Pintasan Cameron Highlands yang dianggarkan menelan kos RM800 juta itu telah dipersetujui pada perbincangan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) antara Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali dan kerajaan negeri, 16 Ogos lalu.

Menurutnya, projek itu merupakan kajian kemungkinan bersama melibatkan kementerian dan kerajaan negeri yang akan dilaksanakan tahun hadapan.

"Projek ini juga merupakan sebahagian daripada Bab 10: Projek Berkesan Tinggi untuk Pahang 2050, yang disenaraikan dalam Pelan Infrastruktur Pahang 2050.

"Bagi menjayakan projek ini, satu kajian kemungkinan bernilai RM1.5 juta akan dijalankan tahun hadapan dan jika berdaya maju ia akan dimasukkan ke dalam Rancangan Malaysia ke-12," katanya melalui satu kenyataan hari ini.

Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri memberi jaminan projek tersebut akan melalui Penilaian Kesan Persekitaran bagi mengelak sebarang kesan buruk.

"Berdasarkan penelitian, projek ini akan membawa manfaat besar kepada negeri Pahang, terutama kepada sektor pelancongan dan sosio-ekonomi rakyat Cameron Highlands selain membantu mengatasi masalah kesesakan lalu lintas yang semakin serius,"katanya.

Wan Rosdy berkata, tahun lalu sahaja Cameron Highlands mencatatkan kehadiran 9.2 juta pengunjung.

"Kini hanya terdapat dua laluan menuju ke Cameron Highlands iaitu jalan Ringlet dan Tringkap serta jalan Lembah Biru dan Kuala Terla dan sentiasa mengalami kesesakan terutama musim percutian," katanya.