Pil kuda paling banyak dirampas di Terengganu

Aidi (empat dari kiri) menunjukkan sebahagian daripada dadah rampasan yang akan dilupuskan pada sidang akhbar semalam.
Aidi (empat dari kiri) menunjukkan sebahagian daripada dadah rampasan yang akan dilupuskan pada sidang akhbar semalam.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Polis Terengganu berjaya merampas dadah bernilai RM2.7 juta dan menyita pelbagai barangan termasuk tanah dan rumah bernilai RM3.6 juta bagi tempoh sehingga 23 Oktober tahun ini.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail berkata, sehingga 28 Oktober tahun ini pula, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Terengganu telah membuat 8,706 tangkapan membabitkan 7,384 kes.

Menurutnya, daripada jumlah itu, 3,584 tangkapan melibatkan bekalan dan memiliki dadah iaitu 1,025 tangkapan bekalan dan 2,559 tangkapan memiliki manakala tangkapan di bawah Undang-Undang Pencegahan Akta Dadah Berbahaya (LLPK) 1985 iaitu seramai 75 orang dan positif urin melibatkan 5,047 tangkapan.

“Jika kita lihat, daripada jumlah 3,584 tangkapan ini, sebanyak 2,085 daripadanya melibatkan rampasan pil yaba atau pil kuda iaitu yang tertinggi berbanding dadah jenis lain.

“Selain harga yang murah, faktor geografi iaitu satu-satunya laluan dari utara iaitu Thailand dan Myanmar menyebabkan Terengganu dan Kelantan terdedah dengan kemasukan dadah jenis ini,” katanya ketika ditemui pada Program Perasmian Pelupusan Barang Kes Narkotik di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu di sini hari ini.

Aidi berkata, bagi mengekang masalah pengedaran dan penyalahgunaan dadah ini, pihaknya berterusan melakukan operasi melalui Ops Tapis harian.

Antara dadah rampasan yang akan dilupuskan.
Antara dadah rampasan yang akan dilupuskan.

Katanya, JSJN Terengganu juga mempergiatkan operasi terancang seperti Ops Ice Breaker, Ops Blue Devil, Ops Wanted Narcotic, Ops Damn Tokan dan terkini Ops Damn Tokan 2.0 yang baharu sahaja berakhir untuk kenal pasti tokan-tokan dadah.

Artikel Berkaitan:

“Kebanyakan pembekal dan penagih ini berusia 25 hingga 40 tahun malah ada yang berusia 12 tahun yang terlibat dengan pil kuda.

“Kita memandang serius masalah dadah ini malah dalam Ops Blue Devil, seorang pegawai dan 14 anggota polis dikesan positif dadah. Ini bermakna walaupun mereka polis, ini tidak bermakna mereka terlepas daripada tindakan,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai pelupusan barang kes narkotik itu, beliau berkata, ia melibatkan barang-barang kes yang telah disiasat dari tahun 2007 sehingga 2019.

“Jumlah keseluruhan nilai dadah yang dilupuskan adalah RM810,660.08 melibatkan 971 kertas siasatan yang telah selesai pendakwaan dan diarahkan oleh pihak mahkamah untuk dilupuskan.

“Ia merangkumi pelbagai jenis dadah yang disenaraikan di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Akta Racun 1983 untuk pelupusan iaitu heroin seberat 148.9 gram, methamphetamine (613 gram), ganja (127.08 gram), erimin ataupun nimetazepam (6.01 gram), phenazepam (0.18 gram).

“Selain itu, daun ketum (49.09 kg), air ketum (52.3 liter), codeine (266.08 liter), monoacetylmorphines (0.08 gram), tramadol (1 gram), etizolam (0.08 gram). Dadah-dadah ini akan dibawa ke Negeri Sembilan untuk dilupuskan dan pegawai kita akan mengikuti proses pelupusannya esok (hari ini),” katanya.