Belum ada vaksin sesuai cegah denggi: KKM

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan (KKM) mendedahkan masih tiada vaksin yang sesuai boleh digunakan untuk mencegah penyebaran wabak denggi yang semakin meningkat.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, keadaan itu menjadikan pendekatan pencegahan sedia ada sebagai langkah terbaik dalam mengawal jangkitan wabak tersebut.

Menurutnya, kes kematian akibat virus denggi menunjukkan kesukaran untuk merawat wabak itu berbanding malaria.

"Vaksin pencegahan rawatan denggi dan malaria berbeza. Dalam usaha kita mencari vaksin sesuai, sehingga kini, memang ada satu vaksin ditunjukkan, namun ia tidak membawa kesan, sebaliknya memburukkan lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Nor Azrina Surip (PH PKR-Merbok) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu menjawab soalan asal Azrina, beliau berkata, sehingga 26 Oktober, jumlah komulatif kes denggi direkodkan adalah 108,606 kes berbanding 61,254 kes bagi tempoh sama tahun lalu, iaitu peningkatan 77.3 peratus.

Katanya, jumlah komulatif kematian denggi adalah 154 kematian berbanding 104 kematian bagi tempoh sama tahun lalu, iaitu meningkat 48.1 peratus.

“Enam negeri menunjukkan jumlah tertinggi adalah Selangor (60,024 kes); Wilayah Persekutuan dan Putrajaya (13,435 kes); Johor (9,194 kes); Kelantan (5,024 kes); Sabah (4,444 kes) dan Pulau Pinang (3,802 kes) manakala sembilan negeri lain merekodkan jumlah kurang daripada 3,000 kes.

Artikel Berkaitan:

"Peningkatan kes denggi direkodkan ketika ini bukan hanya berlaku di Malaysia malah peningkatan kes antara satu hingga lapan kali ganda juga berlaku di Singapura, Filipina, Kemboja, Laos, Vietnam, China dan Taiwan," katanya.

Mengulas lanjut Dzulkefly berkata, kementerian mengambil serius isu peningkatan kes denggi dan tindakan bersepadu sudah dilaksanakan sejak 2014 membabitkan pelbagai kementerian, jabatan serta agensi.

“Pasukan petugas khas bermesyuarat setiap dua minggu dan menjadikan agenda tetap aktiviti membanteras denggi sebagai usaha memastikan semua pihak termasuk masyarakat, melaksanakan aktiviti pencegahan dan kawalan denggi mengikut peranan masing-masing.

"Kementerian juga telah membelanjakan peruntukan sebanyak RM3.35 juta untuk 'outsourcing' bagi aktiviti kawalan dan pencegahan denggi bagi Johor, Selangor dan Wilayah Persekutuan," katanya.