Malaysia jadi negara usang jika MM2H tidak diteruskan, kata Zuraida

Zuraida Kamaruddin
Zuraida Kamaruddin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia akan menjadi sebuah negara yang dipenuhi bangunan-bangunan usang sekiranya lambakan unit kondominium dan pangsapuri mewah terus gagal dijual.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, keadaan itu begitu menggusarkan kerana itu program Malaysia My Second Home (MM2H) perlu dilaksanakan.

"Lambakan ini agak menggusarkan negara dan mengejutkan kerana hampir RM100 bilion nilai rumah yang tak terjual dalam negara kita.

"Bayangkan rumah-rumah ini tidak terjual, tidak berpenghuni kelihatan seperti sebuah negara usang dengan bangunan-bangunan usang," katanya.

Beliau menjawab pertanyaan tambahan daripada Steven Choong Shiau Yoon (PH- Tebrau) pada sesi jawab lisan berhubung kesan sekiranya lambakan rumah mewah di negara ini tidak boleh dijual.

Mengulas lanjut, Zuraida berkata, berdasarkan data Pusat Maklumat Harta Tanah Negara Suku Kedua 2019, terdapat 4,213 (12.8 peratus) dengan nilai RM8.3 bilion rumah mewah tidak terjual yang berharga RM1 juta dan ke atas di negara ini.

"Lambakan rumah mewah yang bernilai RM1 Juta dan ke atas ini telah menjejaskan pertumbuhan ekonomi serta mewujudkan permasalahan sosial di kawasan-kawasan rumah ini yang tidak diduduki.

"Sehubungan itu penjualan rumah mewah kepada warga asing ini dapat mengurangkan lambakan unit rumah sedia ada serta menggalakkan pertumbuhan ekonomi secara keseluruhannya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Tan Sri Annuar Musa (BN-Ketereh) dalam soalan lisannya meminta Zuraida menyatakan sejauh mana sasaran yang diletakkan dalam pemilikan rumah mewah oleh warga asing di negara ini.

Zuraida bagaimanapun menjelaskan kerajaan tidak meletakkan sasaran yang khusus bagi pemilikan rumah mewah oleh warga asing namun satu data bersepadu yang sedang dibangunkan mampu menentukan hala tuju perkara berkenaan.

"Ketika ini harga-harga rumah untuk warga asing tertakluk kepada perjanjian kerajaan negeri yang berbeza-beza. Kerajaan negeri turut mempunyai dasar pemilikan hartanah warga asing bagi memastikan pihak pemaju tidak sewenang-wenangnya membina rumah mewah yang bertujuan untuk dijual kepada warga asing dan warga asing berkenaan tidak sewenang-wenangnya boleh membeli rumah tanpa kawalan sehingga menimbulkan spekulasi pasaran harga rumah.

"Berdasarkan transaksi jual beli harta tanah kediaman yang dikeluarkan oleh NAPIC, sehingga kini (Jan 2019 – Jun 2019), jumlah pemilikan rumah oleh warga asing adalah amat rendah dengan jumlah sebanyak 398 orang (4 peratus) berbanding pemilikan oleh warga Malaysia iaitu 99,524 orang (99.6 peratus). Secara keseluruhan, transaksi ini menunjukkan pasaran harta tanah kediaman bagi warga asing masih terkawal," katanya.

Dalam masa sama beliau berkata, kerajaan juga tidak berhasrat untuk mengintegrasikan program Kempen Pemilikan Rumah (HOC) dan MM2H kerana kedua-dua program berkenaan mempunyai tujuan dan kumpulan sasar yang berbeza.

"Setakat ini sebanyak kira-kira 21 ribu unit rumah bernilai RM13.44 bilion telah berjaya dijual di bawah Kempen Pemilikan Rumah (HOC) yang mula dilaksanakan mulai 1 Januari 2019 yang melebihi sasaran jualan awal sebanyak RM3 bilion.

"Justeru Kerajaan telah melanjutkan tarikh akhir kempen ini sehingga 31 Disember 2019. Bagi memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk memiliki rumah dengan diskaun dan pengecualian khas yang telah diberikan oleh kerajaan," katanya.

Pada Belanjawan 2020, kerajaan akan menurunkan nilai ambang bagi kondominium dan pangsapuri di kawasan bandar daripada RM1 juta kepada RM600,000 pada tahun 2020 untuk pemilikan asing tanpa menafikan hak rakyat Malaysia yang berkelayakan untuk membeli rumah berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: MM2H: Lebih 90 peratus daripada 3,700 permohonan tertangguh siap diproses