MM2H: Lebih 90 peratus daripada 3,700 permohonan tertangguh siap diproses

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Jawatankuasa Peraku Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) telah selesai memproses lebih 90 peratus daripada 3,700 permohonan program MM2H yang tertangguh sejak tahun lepas, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi.

Beliau berkata keputusan jemaah menteri menubuhkan jawatankuasa itu, yang disertai pelbagai agensi termasuk Jabatan Imigresen dengan kementeriannya selaku urus setia, pada Mac lepas telah membantu memudahkan proses permohonan tertangguh disemak dan diselesaikan.

Kesemua permohonan yang telah melalui proses tapisan jawatankuasa MMH2 itu kini telah diserahkan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) memandangkan kuasa meluluskan masih terletak di tangan Menteri Dalam Negeri, katanya.

Media sebelum ini melaporkan terdapat lebih 4,000 permohonan program MM2H tertangguh sejak September tahun lepas sedangkan mengikut prosedur operasi standard (SOP), kelulusan akan diberikan dalam tempoh 90 hari.

Bercakap dalam sidang media selepas merasmikan bengkel MM2H peringkat kebangsaan di sini hari ini, Mohamaddin berkata jawatankuasa MM2H itu kini sedang memproses 1,700 permohonan baharu yang diterima untuk tahun ini bagi tempoh sehingga Mac lepas.

Menurutnya, sebanyak 43,943 permohonan membabitkan peserta dari 131 negara telah diluluskan sejak program MM2H dilaksanakan pada 2002 hingga 2018 dengan China kekal tertinggi dengan 13,892 kelulusan.

"Ia menjana pulangan ekonomi kepada negara bernilai lebih RM18.3 bilion di mana Jabatan Imigresen sendiri mengutip RM16.7 juta melalui bayaran visa oleh peserta,”katanya.

Bagi meningkatkan lagi perolehan ekonomi melalui program itu, kementerian sedang meneroka beberapa negara baharu untuk dilibatkan antaranya Malta, katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: