Padah tangkap ikan di zon larangan

Bot tunda kelas B dikesan APMM melakukan tangkapan ikan di zon larangan di perairan Perak berhampiran Pulau Terong semalam.
Bot tunda kelas B dikesan APMM melakukan tangkapan ikan di zon larangan di perairan Perak berhampiran Pulau Terong semalam.
A
A
A

LUMUT - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perak menahan sebuah bot nelayan kerana dikesan melakukan kegiatan menangkap ikan di zon larangan kira-kira 2.9 batu nautika dari Pulau Terong, di sini semalam.

Pemangku Pengarah APMM Perak, Komander Maritim Shahrizan Raman berkata, bot tunda bersama tekong dan awak-awak berusia 41 dan 52 tahun itu ditahan pasukan yang melakukan rondaan pada jam 4 petang.

"Bot nelayan tersebut dikesan oleh unit Penggalang 13 yang sedang melakukan rondaan di kawasan tersebut.

"Hasil pemeriksaan mendapati bot tunda Kelas B telah melakukan kegiatan menangkap ikan bawah 5 batu nautika” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan di zon larangan menangkap ikan tanpa kebenaran daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

"APMM telah merekodkan 51 tangkapan bot nelayan tempatan sepanjang tempoh hingga Oktober ini yang melibatkan kesalahan menangkap ikan di kawasan yang larangan, menggaji warga asing tanpa kebenaran dan lain-lain.

"Pihaknya bertindak tegas terhadap mana-mana bot nelayan yang melakukan pencerobohan zon menangkap ikan dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang," katanya.

Sebarang maklumat dan aduan boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-6838737 atau MERS 999 bagi memaklumkan sebarang kes kecemasan di laut.

Artikel Berkaitan: