Periksa latar belakang pendakwah luar sebelum ceramah: Muhyiddin

Muhyiddin Yassin - Foto fail
A
A

KUALA LUMPUR - Semua pendakwah luar yang datang ke negara ini untuk mengadakan ceramah keagamaan akan diteliti dan diperiksa latar belakang mereka terlebih dahulu.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihak kementerian turut melakukan proses semakan dengan badan-badan keagamaan berkaitan yang terdapat dalam negara bagi memastikan kumpulan pendakwah tersebut bebas daripada fahaman songsang.

"Sesiapa sahaja yang datang ke sini, walau apa bentuk ceramah sekalipun, kita pantau. Pendakwah dalam kalangan Islam, ada Majlis Agama Islam Negeri-Negeri yang boleh berkuasa dan kalau mereka (pendakwah) tiada tauliah, tidak akan dibenarkan.

"Kalau pendakwah bukan Islam pun kita pantau juga," katanya menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2020 di Dewan Rakyat hari ini.

Mengulas prosedur operasi standard (SOP) kemasukan paderi, pastor dan sami bagi kuil Hindu dan Granthi dari Gudhwara, Muhyiddin berkata, Jabatan Imigresen mengeluarkan Pas Lawatan (Ikhtisas) bagi kategori mubaligh kepada warganegara asing untuk tempoh 12 bulan dan boleh dilanjutkan sehingga tempoh maksimum 36 bulan.

Mengenai pengeluaran kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) kepada pelarian, Muhyiddin berkata, kementerian sedang meneliti semula proses pengeluaran kad itu supaya ia hanya boleh dikeluarkan selepas mendapat kelulusan dan kebenaran Jabatan Imigresen.

"Sebenarnya mereka yang datang ke negara ini seperti Rohingya tidak ada dokumen langsung dan dari sudut antarabangsa dianggap stateless person (tiada kewarganegaraan) tetapi bila dah masuk sini (Malaysia), mereka dianggap pelarian oleh UNHCR dan mereka keluarkan kad itu,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia bukan negara anggota Konvensyen Mengenai Status Pelarian 1951 dan Protokol 1967 dan tidak tertakluk kepada apa-apa kewajipan di bawah konvensyen itu termasuk menyediakan pekerjaan kepada pelarian.

Bagaimanapun, atas dasar perikemanusiaan, kerajaan menerusi Majlis Keselamatan Negara sedang menimbang untuk memberi peluang kepada pemegang kad UNHCR bekerja dan menjalankan aktiviti ekonomi bagi tujuan menyara diri sebelum mereka dihantar ke negara ketiga.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, dasar dekriminalisasi penyalahgunaan dadah perlu dikaji dengan teliti dan terperinci sebelum boleh dilaksanakan.

Katanya, ia melibatkan perubahan besar dari segi dasar dan undang-undang dadah sedia ada, selain sebarang perubahan perlu mematuhi Konvensyen Dadah Antarabangsa agar tidak bercanggah dengan komitmen Malaysia di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata, kajian semula berhubung program pemulihan terutama yang melibatkan penagih tegar sentiasa dilaksanakan bagi memastikan ia berkesan dan sesuai dengan perubahan semasa. - Bernama