X

Kindly register in order to view this article
!

PH gagal, Bung Moktar seru rakyat Sabah #ubahsemula

Bung Moktar ketika bercakap pada program temu bual secara santai 'Tanyalah Apa Sahaja Bah!' Bersama Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar di Kumpulan Media Karangkraf semalam. - Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
A
A

SHAH ALAM - UMNO Sabah telah menumpukan usaha mengatur strategi bagi mentadbir semula negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) dilihat gagal menunaikan janji yang ditabur sejak dua tahun mengambil alih pemerintahan sehingga mendorong kemarahan rakyat.

Menggunakan tanda pagar #ubahsemula, Ahli Parlimen Kinabatangan itu turut menyeru rakyat Sabah supaya melakukan perubahan pada PRU akan datang.

Beliau yang terkenal dengan kelantangan ketika berbahas di Dewan Rakyat berkata, ketika ini beliau mempunyai 11 perancangan untuk dilakukan di Sabah yang pastinya demi rakyat negeri itu.

"Mereka (PH) tidak memainkan peranan membela rakyat terutama pihak kontraktor, usahawan, mereka dipinggirkan.

"Insya-ALLAH, UMNO di Sabah akan mendapat autonomi untuk mengolah Sabah mengikut acuan sendiri. Kita tidak lagi bergantung 100 peratus kepada UMNO Malaysia dalam membuat keputusan.

"Jika saya menang, perancangan ini akan kita laksanakan, bukan seperti PH berjanji namun tidak ditepati. Kita akan berjanji pasti ditepati," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu menerusi program Temu bual secara santai 'Tanyalah Apa Sahaja Bah!' Bersama Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar di Kumpulan Media Karangkraf di sini semalam.

Dalam pada itu, ketika ditanya kelantangan beliau ketika berbahas di Dewan Rakyat, Bung Moktar berkata, itu adalah perkara biasa yang dilakukan oleh semua Ahli Parlimen.

"Ketika Barisan Nasional (BN) memerintah, saya juga dikenali sebagai 'pembangkang' ketika di dalam Dewan Rakyat.

"Mana-mana dasar yang diputuskan oleh kerajaan jika tidak betul dan tiada kebaikan untuk rakyat, saya tidak setuju.

"Bukan seperti PH ketika ini, wakil rakyatnya tidak betul, mereka sokong. Kita (BN) dulu tidak. Kita akan bantah selagi kita tidak berpuas hati," katanya.

Bung Moktar berkata, beliau akan terus berada dalam dunia politik demi mengembalikan kegemilangan UMNO-BN meskipun pada usia mencecah 60 tahun pada tahun ini.

"Saya mahu kembalikan keyakinan rakyat Sabah untuk kembali menyokong BN dan bertekad untuk meneruskan kegiatan politik.

"Walaupun ramai yang melompat parti, tetapi itu tidak menjadi halangan untuk UMNO di Sabah bangkit semula," katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!