Cubaan seludup 1,024 kg daun ketum gagal

Antara rampasan guni disyaki mengandungi daun ketum dalam operasi Op Wawasan, baru-baru ini.
Antara rampasan guni disyaki mengandungi daun ketum dalam operasi Op Wawasan, baru-baru ini.
A
A
A

PADANG BESAR - Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya mematahkan cubaan menyeludup daun ketum seberat 1,024 kilogram (kg) bernilai RM153,500 ke negara jiran menerusi dua serbuan berasingan di sini.

Komander Briged Utara PGA, Senior Asisten Komisioner Abdul Ghani Mohamad Ji berkata, bertindak menerusi Op Wawasan, sepasukan anggota Batalion 2 mengesan sekumpulan lelaki di kawasan kebun sedang memunggah keluar bungkusan guni yang dibalut plastik hitam daripada sebuah kenderaan pacuan empat roda.

"Kumpulan terbabit juga dilihat memikul bungkusan guni tersebut menuju ke pagar sempadan Malaysia-Thailand.

"Menyedari kehadiran anggota PGA, kumpulan lelaki terbabit bertindak melarikan diri ke kawasan semak, namun seorang daripada mereka berjaya diberkas," katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan di bahagian tempat duduk belakang kenderaan berkenaan menemui 18 bungkusan guni yang mengandungi daun ketum dan pemeriksaan di kawasan sekitar turut menjumpai tiga lagi guni daun ketum.

Antara rampasan guni disyaki mengandungi daum ketum dalam operasi Op Wawasan, baru-baru ini.
Antara rampasan guni disyaki mengandungi daum ketum dalam operasi Op Wawasan, baru-baru ini.

Katanya, kesemua daun ketum seberat 627 kg dianggar bernilai RM94,050 dan kenderaan berkenaan dirampas.

"Suspek berusia 23 tahun telah ditahan dan dibawa ke Balai Polis Padang Besar untuk siasatan lanjut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam kes berlainan, PGA berjaya membuat rampasan 14 guni daun ketum seberat 397 kg yang dianggar bernilai RM59,550 semasa rondaan di Jalan Kampung Felda Maya Ayer, Padang Besar semalam.

"Operasi kira-kira jam 9 pagi itu berjaya mengesan sekumpulan lelaki bermotosikal dalam perjalanan menghala ke jalan utama Padang Besar yang membawa guni putih dalam keadaan mencurigakan.

"Kesemua lelaki terbabit bagaimanapun bertindak melarikan diri ke kawasan ladang getah dan meninggalkan kesemua guni terbabit dan motosikal jenis Honda Wave bernombor pendaftaran negara Thailand," katanya.

Katanya, kesemua kes ini disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.