Nahas di Turki: Waris Allahyarham Azalan terima RM500,000

Norita (tujuh dari kiri) menyampaikan sumbangan sebanyak RM500,000 kepada Faredah (tiga dari kiri).
Norita (tujuh dari kiri) menyampaikan sumbangan sebanyak RM500,000 kepada Faredah (tiga dari kiri).
A
A
A

SHAH ALAM - Waris kepada kakitangan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Azalan Miswan yang maut dalam kemalangan di Turki pada 17 Oktober lalu menerima pampasan insurans sebanyak RM500,000 daripada pihak Etiqa Insurans.

Sumbangan tersebut disampaikan oleh Ketua Pegawai Operasi PKNS, Norita Mohd Sidek kepada isteri Allahyarham, Siti Faredah Ahmad, 53.

Menurut Norita, semua kos urusan bagi membawa balik jenazah sebelum ini ditanggung sepenuhnya oleh pihak insurans.

"Kami wakil PKNS dan Etiqa Insurans hadir hari ini bagi memberi bayaran pampasan sebanyak RM500,000 kepada waris Allahyarham Azalan," katanya selepas penyerahan sumbangan berkenaan di rumah Allahyarham di Seksyen 19 hari ini.

Mengulas lanjut mengenai kakitangan PKNS lain yang terlibat dalam kemalangan itu, Norita berkata, buat masa ini tiga orang masih menerima rawatan di Hospital Pakar Avisena.

Katanya, sebelum ini urusan membawa balik semua mangsa terlibat dilakukan secara berperingkat oleh pihak PKNS.

"Selepas pulang ke tanah air, masih ada beberapa lagi kakitangan PKNS yang sedang menjalani rawatan lanjut di hospital akibat kecederaan yang dialami," katanya.

Dalam pada itu, anak kepada Allahyarham, Muhammad Aiman Azalan, 26, turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang membantu memudahkan urusan sepanjang proses membawa pulang jenazah Allahyarham ayahnya ke tanah air.

Artikel Berkaitan:

"Saya merakamkan jutaan terima kasih kepada pihak yang membantu, hanya ALLAH yang dapat membalas jasa anda semua," katanya.

Azalan antara 35 kakitangan PKNS yang terlibat dalam kemalangan jalan raya di Afyonkarahisar, Turki ketika menyertai rombongan tahunan perbadanan itu ke negara berkenaan.

Allahyarham maut di tempat kejadian manakala empat lagi cedera parah dan mendapatkan rawatan di hospital Afyonkarahisar.

Azalan merupakan Pembantu Kanan Tadbir PKNS dan telah berkhidmat selama 28 tahun dengan perbadanan itu.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan tiga cahaya mata iaitu Muhammad Aiman, 26, Nurafiqah, 24 dan Ariff Danial,15.