Juruteknik, pemandu teksi didakwa sokong LTTE

Arivainthan dan Balamurugan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar hari ini atas tuduhan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas LTTE. - Foto Bernama
Arivainthan dan Balamurugan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar hari ini atas tuduhan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas LTTE. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA KANGSAR - [DIKEMASKINI] Juruteknik kilang dan pemandu teksi didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar, hari ini atas pertuduhan melibatkan diri dalam kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), sejak lima tahun lalu.

Mengikut pertuduhan, S Arivainthan, 27, dan V Balamurugan, 37, didakwa dengan pengetahuan telah memberi sokongan kepada kumpulan LTTE dalam satu majlis.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Dewan Majlis Perbandaran Kuala Kangsar Cawangan Sungai Siput (U) antara jam 6.30 petang hingga 11.45 malam, 28 Disember 2014.

Arivainthan yang merupakan juruteknik kilang dan Balamurugan bekerja sebagai pemandu teksi mengangguk faham dengan pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Melayu di hadapan Hakim Rohaida Ishak.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan kedua-dua tertuduh.

Bagi pertuduhan ini, kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sepanjang hayat atau tidak melebihi 30 tahun atau denda dan mana-mana harta yang digunakan atau diniat untuk digunakan melakukan kesalahan ini hendaklah dirampas.

Tertuduh Balamurugan dari Sungai Siput turut didakwa atas tiga lagi pertuduhan memiliki dan mempamer item-item yang berunsur perbuatan keganasan atau berkaitan dengan LTTE.

Dia dituduh memiliki item-item terbabit dalam sebuah telefon bimbit jenama Samsung Galaxy A7 di pekarangan Stesen Teksi Sungai Siput (U) pada jam 9.40 pagi, 10 Oktober lalu.

Artikel Berkaitan:

Balamurugan bersama Arivainthan dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar hari ini.
Balamurugan bersama Arivainthan dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar hari ini.

Tertuduh turut didakwa memiliki dan mempamer item-item yang berunsur perbuatan keganasan atau berkaitan dengan LTTE di sebuah rumah di Taman Bukit Medan Sungai Siput (U) pada jam 9.50 pagi, 10 Oktober lalu.

Bagi ketiga-tiga kesalahan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen Seksyen 130JB (1)(a) dan 130JB (1)(b) Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan dihukum penjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda dan hendaklah dilucuthakkan mana-mana item tersebut.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Aliff Asraf Anuar Sharuddin.

Tertuduh Arivainthan diwakili Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer sementara Matthews Jude dan Farhan Fadzil mewakili Balamurugan.

Terdahulu pihak pembelaan merayu agar mahkamah membenarkan permohonan ikat jamin terhadap kedua-dua tertuduh.

Dalam hujahannya, Rayer memberitahu tiada sebarang kenyataan atau izin daripada pihak pendakwa raya yang mewajibkan mahkamah menjalankan prosiding itu di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) yang tidak membolehkan diikat jamin.

Mahkamah bagaimanapun tidak membenarkan sebarang ikat jamin ditawarkan kepada kedua-dua tertuduh kerana membabitkan kesalahan keselamatan dan menetapkan 28 November depan untuk sebutan semula kes.

Rayer ketika ditemui media memberitahu pihaknya akan mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Tinggi Ipoh selewatnya esok bagi membenarkan ikat jamin terhadap tertuduh.

Media sebelum ini melaporkan 12 individu termasuk dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Negeri Sembilan dan Melaka ditahan kerana disyaki terbabit LTTE mengikut SOSMA.

ARTIKEL BERKAITAN: Guru didakwa miliki barangan pengganas LTTE