757 saman dikeluarkan dalam operasi musim raya di Sabah

No Image Caption
A
A
A
KOTA KINABALU - Sebanyak 757 saman dikeluarkan dalam operasi bersepadu sempena musim perayaan yang dilaksanakan Polis Kontinjen Sabah sejak 21 hingga 25 Oktober lepas.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Kontinjen Sabah, Datuk Ahmad Fadzillah Mohamed berkata, saman berkenaan dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas sepanjang operasi yang dijalankan sempena perayaan Deepavali.

"Operasi bersepadu itu dijalankan di 20 daerah di seluruh Sabah dan diselaraskan oleh JPJKK yang antara lainnya menumpukan kepada beberapa kesalahan seperti pecah rumah, samun, ragut, curi kenderaan dan pendatang asing," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, sepanjang operasi itu seramai 87 orang ditangkap atas pelbagai jenis kesalahan jenayah termasuk kesalahan dadah.

"Mereka yang ditahan adalah antara 8,504 orang yang diperiksa sepanjang operasi itu," katanya.
Artikel Berkaitan:


Katanya, operasi berkenaan melibatkan semua elemen polis dan ia disertai 201 pegawai kanan, 1,192 anggota dan 95 sukarelawan simpanan polis.

"Kita berharap dengan adanya operasi seperti ini dapat memberi impak besar kepada penurunan kadar jenayah di seluruh negara. Oleh itu JPJKK Kontinjen Sabah terus komited melaksanakan operasi seumpama ini di musim-musim akan datang," katanya. - Bernama