Budak terperangkap dalam lubang sempit meninggal dunia

Operasi menyelamat B Sujith Wilson yang berlangsung lebih 80 jam gagal menyelamatkan mangsa.- Foto: PTI
Operasi menyelamat B Sujith Wilson yang berlangsung lebih 80 jam gagal menyelamatkan mangsa.- Foto: PTI
A
A
A

NEW DELHI - Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun yang terjatuh dalam sebuah lubang sempit di Tamil Nadu, India pada Jumaat lalu disahkan meninggal dunia.

Pihak penyelamat yang bertungkus-lumus menyelamatkan B Sujith Wilson dilaporkan menghentikan proses penggalian sebaik sahaja mayat mangsa ditemui dalam keadaan reput awal hari ini.

Menurut pegawai kerajaan, operasi menyelamat sepatutnya diteruskan namun bau busuk yang timbul dari dalam lubang itu sejak semalam menyebabkan pihak berkuasa mengisytiharkan kematian kanak-kanak tersebut.

Agensi berita ANI melaporkan, mayat mangsa telah dibawa keluar untuk menjalani post-mortem lalu dihantar pulang kepada keluarganya.

"Mayat kanak-kanak berusia dua tahun itu berada dalam keadaan reput. Kami bertungkus-lumus untuk menyelamatkannya namun malangnya bau busuk dikesan dari dalam lubang, kini proses penggalian telah dihentikan," kata J Radhakrishnan, Pesuruhjaya Pentadbiran Hasil Tamil Nadu yang memantau operasi menyelamat selama lebih 80 jam itu.

Proses menyelamat berjalan perlahan berikutan kawasan berbatu dan prosedur sukar termasuk menggali sebuah lagi lubang dalam usaha mengeluarkan mangsa dan membenarkan laluan oksigen bagi membolehkannya bernafas.

Pada awalnya, pihak berkuasa berkata mangsa terperangkap pada kedalaman sekitar 8 meter namun cubaan menariknya keluar menggunakan tali menyebabkannya terjatuh lebih dalam sekitar 27 meter.

Keraguan turut timbul berhubung kedalaman sebenar lubang sempit itu yang dianggarkan sekitar 183 meter hingga sekurang-kurangnya 305 meter.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, terdapat pihak mengecam tindakan kerajaan negeri yang dikatakan menggunakan pelbagai pendekatan 'trial and error' ketika melakukan operasi menyelamat selain dakwaan Pasukan Penyelamat Bencana Kebangsaan (NDRF) hanya dihubungi sembilan jam selepas operasi menyelamat bermula. - Agensi

ARTIKEL BERKAITAN: Budak 2 tahun terperangkap 35 jam dalam lubang sempit