Jalan Siputih-Batu Hampar ditutup akibat tanah runtuh

Jalan Seputih-Batu Hampar Seksyen 32 melibatkan laluan Pekan Parit ke Pekan Tanjung Belanja ditutup berikutan cerun runtuh yang berlaku awal pagi tadi. - Foto Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak
Jalan Seputih-Batu Hampar Seksyen 32 melibatkan laluan Pekan Parit ke Pekan Tanjung Belanja ditutup berikutan cerun runtuh yang berlaku awal pagi tadi. - Foto Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak
A
A
A

PARIT - Laluan di Seksyen 32 Jalan Seputih-Batu Hampar akan ditutup sepenuhnya kepada pengguna bermula jam 6 petang ini berikutan kejadian tanah runtuh.

Penutupan jalan akan dibuat bermula dari Pekan Parit iaitu selepas simpang Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Parit hingga ke Taman Parit Jaya sepanjang lebih kurang 1 kilometer.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Barudin Wariso berkata, runtuhan tanah yang berlaku jam 12.50 malam tadi menyebabkan cerun di laluan itu berbahaya dan tidak selamat kepada pengguna.

"Kerja pembersihan sisa tanah telah dilakukan di lokasi, namun terdapat akar kayu besar yang tidak dapat dialihkan.

"Pemantauan lanjut kemudiannya menemui kesan rekahan pada batu di tanah bukit di tepi laluan menghala ke Siputeh menyebabkan keputusan menutup jalan dibuat bagi tujuan keselamatan," katanya.

Menurutnya, penilaian lanjut keadaan laluan itu akan dilakukan jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR), esok.

"Papan tanda pemberitahuan telah pun dipasang dan polis akan menjalankan pemantauan berkala di persimpangan berhampiran untuk makluman kejadian," katanya.

Beliau berkata, pengguna diminta menggunakan laluan alternatif sepanjang penutupan dibuat sehingga satu tempoh diberitahu kelak.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pengguna dari Tanjung Belanja/Senggang Kuala Kangsar boleh menggunakan jalan FT072 Jalan Bota Kiri-Tanjung Belanja dan seterusnya ke FT005 Jalan Ipoh-Lumut.

"Mereka yang dari Parit pula boleh masuk ke laluan A17 Jalan Bota Kanan-Parit dan seterusnya ke FT005 Jalan Ipoh-Lumut," katanya.

Kawalan dan pemantauan dilakukan di lokasi berlakunya runtuhan tanah. -Foto Polis Perak
Kawalan dan pemantauan dilakukan di lokasi berlakunya runtuhan tanah. -Foto Polis Perak