'Kami tak lena tidur'

Saadah menunjukkan peti sejuk yang diletakkan di tempat yang tinggi selepas air hujan mulai masuk ke rumahnya tiga hari lalu.
Saadah menunjukkan peti sejuk yang diletakkan di tempat yang tinggi selepas air hujan mulai masuk ke rumahnya tiga hari lalu.
A
A
A

JITRA - Penduduk berdekatan Taman Pulasan Mukim Malau di sini mendakwa projek perumahan yang sedang dilaksanakan mengakibatkan banjir kilat di kawasan itu.

Seorang penduduk, Saadah Awang, 57, berkata, kawasan berkenaan tidak pernah mengalami banjir sejak mendiami rumah itu kira-kira 40 tahun lalu.

"Sejak projek berkenaan dibangunkan tahun lalu, rumah kami dinaiki air setiap kali hujan lebat. Tiga hari lepas kami terpaksa mengangkat semua barangan elektrik ke tempat lebih tinggi.

"Kami tidak lena tidur kerana bimbang air melimpah ke dalam rumah," katanya.

Menurutnya, kandang kambing di sebelah rumahnya juga turut ditenggelami air hampir satu meter.

"Seekor anak kambing berusia enam bulan tidak sempat diselamatkan kerana paras air sangat tinggi," katanya.

Pokok pisang milik Mohd Nabin yang ditenggelami air di kebunnya di sini baru-baru ini.
Pokok pisang milik Mohd Nabin yang ditenggelami air di kebunnya di sini baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, pemilik kebun, Mohd Nabin Abd Rasul,65, berkata, sebelum ini terdapat sebatang anak sungai yang akan mengalirkan hujan ke sungai berdekatan.

"Sungai itu kini sudah ditambun menyebabkan air mengalir ke kawasan rumah kami yang lebih rendah.

"Air bertakung menyebabkan semua pokok pisang dan durian yang saya tanam mati dan rosak.

"Ini sudah masuk kali ketiga saya tanam semula pokok terbabit dan nampaknya saya berhadapan dengan nasib yang sama selepas ini," katanya yang mengalami kerugian RM3,000 bagi kos pembelian anak benih, baja dan keperluan lain.

Mohd Nabin memberitahu, dia telah merujuk masalah berkenaan kepada pihak pemaju dan memohon sedikit pampasan bagi menampung kerugian yang ditanggung, namun sehingga kini belum mendapat maklum balas.

"Saya juga telah membuat aduan kepada pihak Majlis Perbandaran Kubang Pasu (MPKP) dengan harapan masalah kami ini mendapat pembelaan," katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua MPKP Datuk Mohd Fisol Md Noh ketika dihubungi berkata, pihak pemaju perlu bertanggungjawab terhadap masalah yang dihadapi oleh penduduk di situ.

"Sekiranya dalam pelan projek itu perlu dibina saliran baharu bagi menggantikan anak sungai terbabit, mereka perlu laksanakan supaya penduduk tidak terjejas.

"Bagaimanapun pihak MPKP akan membuat pemantauan supaya masalah ini tidak berpanjangan dan mengundang masalah kepada penduduk," katanya.