Karnival Agro Kejora platform perluas perniagaan

A
A
A

KOTA TINGGI - Karnival Agro Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) 2019 diyakini mampu menjadi platform bagi mewujudkan rangkaian perniagaan antara usahawan-usahawan asas tani di wilayah pentadbiran badan berkenaan.

Program yang berlangsung di Desaru Fruit Farm Bandar Penawar di sini bermula 25 hingga 28 Oktober itu melibatkan seramai 65 usahawan tempatan daripada pelbagai bidang.

Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan) Kejora, A Jalil Md Arsad berkata, karnival siri kedua sejak tahun lalu itu dianjurkan sebagai galakan kepada para pengusaha untuk lebih aktif berniaga dan mencapai tahap yang lebih baik.

“Objektif yang mahu kita ketengahkan pada Karnival Agro Kejora 2019 adalah membantu usahawan-usahawan ini mempromosikan produk mereka di tahap yang lebih komersial.

“Kita juga mahu bantu mereka membina rangkaian perniagaan dalam kalangan usahawan yang ada dan menjadi platform perkongsian maklumat mengenai pembangunan teknologi pertanian oleh agensi-agensi tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Majlis Perasmian Karnival Agro Kejora 2019 yang turut dihadiri Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Datuk Che Murad Sayang Ramjan di Desaru Fruit Farm Bandar Penawar di sini Sabtu lalu.

A Jalil berkata, pada karnival itu Kejora menyediakan pelbagai pengisian termasuk sesi ceramah, ruang gerai usahawan, enam demonstrasi berkaitan produk pertanian, mini zoo, pameran agensi kerajaan dan aktiviti kesihatan.

“Syukur pelaksanaan program ini mendapat perhatian serta kerjasama sangat baik antara pengusaha pertanian Kejora, pihak berkuasa tempatan (PBT) Pengerang, syarikat pertanian swasta, bank dan jabatan kerajaan.

Artikel Berkaitan:

“Terima kasih diucapkan kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Kerajaan Johor yang sentiasa memberi peluang kepada Kejora untuk melaksanakan pelbagai program khusus bagi meningkatkan taraf hidup penduduk tempatan di sini,” katanya.

Mengulas mengenai pemilihan Desaru Fruit Farm sebagai lokasi baharu penganjuran program berkenaan, beliau berkata, pihaknya mahu mempromosikan tanah pajakan pertanian itu sebagai satu daripada tarikan pelancongan agrokultur di Johor.

“Sebelum ini kita anjurkannya di Tanjung Balau, Kota Tinggi dan ia tempat yang bagus tetapi kali ini kita mahu tampilkan sedikit kelainan. Jadi kita pilih Desaru Fruit Farm ini untuk bantu promosikannya. Kita tahu yang pengunjung bukan penduduk setempat sahaja, ada juga pelancong luar,” katanya.

Beliau berkata, penganjuran Karnival Agro Kejora 2019 menetapkan sasaran sebanyak 20,000 pengunjung dengan pemerolehan hasil sebanyak RM3 juta.

Sementara itu, Pengusaha makanan sejuk beku, Rubiah Mohamed, 52, berkata, selain mendapat hasil dan keuntungan, Karnival Agro Kejora membantu peniaga menjalinkan hubungan baik bersama jabatan-jabatan kerajaan berkaitan.

Katanya, peniaga juga boleh melihat dengan lebih dekat apakah sebenarnya yang boleh dilakukan untuk lebih maju termasuk strategi perniagaan dan promosi.

Pengusaha anak benih pokok dan baja, Azman Wahab, 55, pula berkata, dia sudah beberapa kali menyertai program anjura Kejora dan buat masa ini semuanya memang bagus dan memberikan peluang kepada pengusaha untuk meningkatkan perniagaan.

"Perlu pandai rebut peluang dan sesuai untuk peniaga-peniaga baharu,” katanya.

Kerajaan sedia bantu sub sektor agro makanan

Kerajaan akan melaksanakan pelbagai inisiatif dalam memastikan sub sektor agro makanan di negara ini dapat dibangunkan dengan haluan yang lebih jelas dan berdaya saing.

Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Datuk Che Murad Sayang Ramjan berkata, usaha itu juga bagi mengurangkan kebergantungan import makanan daripada luar melalui peningkatan produktiviti dan pendapatan golongan industri asas tani di negara ini.

“Kerajaan akan membangunkan input alternatif dan sumber rezeki baharu seperti kelapa, nanas, tembikai, belimbing dan durian yang mana kita dapati mempunyai permintaan besar serta mempunyai nilai ekonomi baik bagi pasaran tempatan mahupun global.

“Bagi menjayakannya, kerajaan komited mengoptimumkan penggunaan kemudahan, aset lojistik sedia ada merangkumi pusat pengumpulan dan pengedaran.

“Selain itu, kemudahan rantaian sejuk, mesin dan jentera pengangkutan juga akan digunakan sebaik mungkin bagi memastikan rantaian nilai sektor agro makanan dapat dimanfaatkan sepenuhnya,” katanya.

Mengulas mengenai penganjuran Karnival Agro Kejora kali ini, Che Murad Sayang berkata, pihaknya berharap program seumpama itu dapat terus membantu menarik minat golongan muda untuk terus menceburi bidang pertanian dan keusahawanan.