PMU Kangkar Tebrau terbakar: Bekalan elektrik pulih sepenuhnya dalam masa 77 minit

JOHOR BAHRU – Bekalan elektrik di beberapa kawasan sekitar Johor Bahru yang terjejas akibat kebakaran di Pencawang Masuk Utama (PMU) Kangkar Tebrau pada Jumaat berjaya dipulihkan sepenuhnya dalam tempoh 77 minit.
Tenaga Nasional Berhad (TNB) memaklumkan, kejadian yang berlaku pada jam 6.03 petang itu menyebabkan gangguan bekalan elektrik di beberapa kawasan termasuk Bandar Dato Onn, Taman Daya, Kempas, Bandar Ulu Tiram, Desa Tebrau dan Johor Jaya.
Menurut kenyataan TNB, pasukan teknikal syarikat segera digerakkan ke lokasi bagi melaksanakan kerja pemulihan bekalan elektrik secara berperingkat sejurus insiden berlaku.
Hasil tindakan pantas pasukan terbabit, bekalan elektrik di semua kawasan yang terjejas berjaya dipulihkan sepenuhnya dalam tempoh 77 minit.
Dalam kejadian sama, dua kakitangan teknikal TNB yang berada di lokasi ketika kebakaran berlaku mengalami kecederaan.
Kedua-dua mangsa kini menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
TNB memaklumkan keluarga kedua-dua kakitangan terbabit telah dimaklumkan mengenai insiden berkenaan dan kini berada bersama mereka.
Sementara itu, punca sebenar kebakaran masih dalam siasatan pasukan teknikal TNB dengan kerjasama pihak berkuasa berkaitan termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
“TNB akan memberikan kerjasama sepenuhnya bagi memastikan siasatan dijalankan secara menyeluruh,” menurut kenyataan berkenaan.
Dalam pada itu, TNB memohon maaf atas kesulitan yang dialami pengguna susulan gangguan bekalan elektrik tersebut.
Syarikat utiliti itu turut merakamkan penghargaan kepada pengguna yang terjejas atas kesabaran dan kerjasama sepanjang proses pemulihan dijalankan.
Sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut boleh diperoleh menerusi TNB CareLine di talian 15454.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

