Mangsa banjir di Johor meningkat kepada 536 orang

No Image Caption
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jumlah mangsa yang terjejas akibat banjir di negeri ini terus meningkat kepada 536 mangsa daripada 127 keluarga melibatkan lima daerah setakat jam 9 pagi ini berikutan hujan lebat berterusan sehingga malam tadi.

Angka itu menunjukkan peningkatan berbanding 160 mangsa daripada 40 keluarga yang direkodkan setakat jam 8 malam tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar negeri, Tan Chen Choon berkata, daerah Kulai dan Kluang merupakan daerah terbaharu terjejas melibatkan pembukaan empat pusat pemindahan sementara (PPS) manakala terdapat satu lagi penambahan PPS di Johor Bahru.

Menurutnya, kelima-lima PPS berkenaan dibuka sekitar jam 9 malam sehingga jam 3.45 pagi tadi.

“Setakat jam 9 pagi ini di Kulai, seramai 93 mangsa daripada 24 keluarga ditempatkan di Masjid Al Muhajrin, Kampung Melayu Bukit Batu dan di Johor Bahru pula, Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Daya menempatkan 61 mangsa dari 14 keluarga,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Chen Choon berkata, di Kluang pula, PPS Dewan Parit Hassan menempatkan 10 mangsa daripada dua keluarga dan Balai Raya Kampung Parit Haji Hashim pula lapan mangsa dari tiga keluarga manakala, Dewan Kampung Kolam Air pula adalah seramai 31 mangsa daripada lapan keluarga.

Sementara itu, jumlah mangsa di Balairaya Kangkar Tebrau terus meningkat kepada 229 mangsa daripada 53 keluarga berbanding 55 mangsa daripada 16 keluarga yang direkodkan malam tadi.

Manakala di Batu Pahat dan Pontian, masing-masing kekal satu PPS yang masih dibuka iaitu SK Sungai Kajang dan SK Melayu Raya.

Artikel Berkaitan:

“Seramai 16 mangsa daripada tiga keluarga berlindung di SK Sungai Kajang, manakala di Pontian, 88 mangsa daripada 20 keluarga ditempatkan di SK Melayu Raya,“ katanya. - Bernama