Nelayan hilang pendapatan selepas bot dicuri

Bot nelayan yang hilang di Tanjung Sungai Sekawang Port Dickson, Isnin lalu.
Bot nelayan yang hilang di Tanjung Sungai Sekawang Port Dickson, Isnin lalu.
A
A
A

PORT DICKSON - Seorang nelayan hilang pendapatan selepas bot miliknya di Tanjung Sungai Sekawang di sini, hilang dipercayai dicuri dua hari lalu.

Mangsa, Mat Derus Baharuddin, 72, berkata, perahunya yang berwarna merah dan bernombor NSS 686 itu disedari hilang Selasa lalu ketika mahu turun ke laut kira-kira jam 6.30 pagi.

“Saya dah ikat kemas di sebatang pokok selepas balik daripada laut. Tapi, keesokan hari masa nak turun ke laut perahu saya tak ada, tali yang mengikat perahu juga saya syak dipotong individu yang tak bertanggungjawab.

“Puas saya melihat di kawasan sekeliling dan cari di kawasan sungai, tapi sehinggalah ke hari ini masih tak jumpa,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Menurutnya, disebabkan kejadian itu dia terpaksa menanggung kerugian lebih kurang RM10,000 termasuk 40 keping jaring yang digunakan untuk menangkap ikan.

"Saya merayu sesiapa yang jumpa atau ambil perahu saya pulangkan semula, memandangkan hanya bot itu sahaja yang saya ada untuk menangkap ikan di laut," katanya.

Mat Derus berkata, dia sudah memaklumkan kejadian berkenaan di Pejabat Penyelaras Parlimen Port Dickson untuk diambil perhatian kelmarin dan berharap ada pihak dapat membantu mengurangkan beban terpaksa ditanggung.

"Laporan polis juga dah dibuat di Balai Polis Pasir Panjang. Kecurian bot selalu berlaku di kawasan jeti nelayan di sini dan ini kali kedua perahu saya hilang selepas kali pertama berlaku 10 tahun lalu," katanya.

Artikel Berkaitan: