X

Kindly register in order to view this article
!

Kompaun 1MDB satu kezaliman politik

A
A

TINDAKAN Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengeluarkan notis kompaun terhadap 80 individu dan entiti yang dipercayai menerima dana daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menggunakan Seksyen 92(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA 2001) adalah sangat tidak wajar dan bertentangan dengan prinsip keadilan.

Tujuan utama AMLATFPUAA 2001 adalah untuk menyekat wang yang datang daripada sumber tidak sah dan meragukan dan digunakan bagi kegiatan yang boleh menjejaskan keselamatan dan keamanan negara.

Sejumlah 80 individu dan entiti ini menerima wang daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bukannya daripada mereka yang diketahui penjenayah atau diragui sumber kewangan terbabit.

Wang yang diterima pula bukanlah secara tunai atau daripada akaun luar negara yang meragukan. Sebaliknya cek-cek ini dikeluarkan oleh sebuah bank yang sah dalam negara dan dipantau oleh Bank Negara Malaysia.

Jika Bank Negara gagal menyekat wang dalam sistem perbankan negara selama bertahun lamanya, bagaimana SPRM mengharapkan mereka ini melakukan pemantauan dan pemeriksaan sendiri?

SPRM tidak seharusnya menuntut semula wang yang telah dibayar oleh akaun Najib kerana mereka ini bukan sebahagian orang berkonspirasi melarikan wang. Itu pun jika benar dakwaan penyelewengan ini berlaku.

Ketika ini mahkamah belum memutuskan bahawa Najib bersalah mengambil wang 1MDB. Belum pun diputuskan sama ada wang dalam akaun Najib tersebut adalah wang 1MDB.

Lebih penting, ketika menerima dana politik atau pembayaran daripada Najib belum timbul pun tuduhan bahawa akaun tersebut hasil penyelewengan wang 1MDB. Tuduhan penyelewengan terhadap akaun ini hanya muncul pada 2015 setelah akaun ditutup.

Jadi jelas tidak ada seorang pun antara mereka yang mempunyai pengetahuan mengenai tuduhan ini semasa menerima wang tersebut dan membelanjakannya.Justeru di mana justifikasi keadilan SPRM? Kita juga tertanya-tanya apakah justifikasi SPRM mengejar, memalukan dan ‘mengugut’ mereka yang tidak bersalah ini?

Kebanyakan mereka ahli dan organisasi politik, NGO dan aktivis kemasyarakatan yang menerima sumbangan dari akaun ini telah membelanjakan bagi tujuan kebajikan dan kemasyarakatan.

Apakah mereka perlu menuntut semula wang tersebut daripada rakyat yang menerima sumbangan kerusi roda, ubat-ubatan, pembaikan rumah rakyat miskin?

Tidak mustahil ada syarikat-syarikat kecil akan ditutup berhadapan denda yang sebesar itu.

Kita juga berhak bertanya mengapa SPRM mengejar mereka ini dan bukannya penjenayah sebenar? Kita tahu penyelewengan wang 1MDB tidak berlaku di Malaysia tetapi di luar negara.

Sehingga hari ini kita tidak mendengar SPRM ada mengeluarkan waran tangkap atau kompaun ke atas dua orang bekas pegawai kanan International Petroleum Investment Company (IPIC), Khadeem al-Qubaisy dan Mohamed al-Husainy.

Kedua-dua mereka itu dikatakan terbabit menubuhkan syarikat palsu yang menipu 1MDB. Kedua-dua mereka telah dipecat daripada IPIC. Namun SPRM langsung tidak berbuat apa-apa untuk membawa mereka ke muka pengadilan atau menuntut wang tersebut.

Adakah adil kerajaan mengkompaun mereka yang tidak mendapat apa-apa keuntungan peribadi daripada dana ini tetapi memejam mata terhadap orang yang terang-terang menubuhkan syarikat palsu bagi menipu 1MDB?

Perangai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu ini menunjukkan beliau tidak lebih sebagai alat politik parti pemerintah bagi menindas kumpulan yang tidak menyokong mereka dalam pilihan raya lalu.

Kerajaan harus berhenti menyalah guna AMLA untuk kepentingan politik kerana jika ia dibiarkan berterusan tidak mustahil parti pemerintah sekarang akan berhadapan tindakan serupa apabila kalah dalam pilihan raya pada masa akan datang.

Jangan mewujudkan kes duluan (precedent case) yang boleh memerangkap anda suatu hari nanti.

Kita juga berhak bertanya mengapa SPRM mengejar mereka ini dan bukannya penjenayah sebenar?”

*Ab Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus