X

Kindly register in order to view this article
!

Sarawak cipta rekod pemain hadrah teramai

Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg
A
A

KUCHING - Sarawak berjaya melakar catatan rekod baharu dalam Malaysia Book of Records (MBOR) selepas persembahan 1,001 pemain hadrah selama 30 minit di Padang Merdeka di sini hari ini dinobatkan sebagai jumlah pemain teramai menjayakan pertunjukan hadrah terbesar di Malaysia sehingga kini.

Persembahan yang melibatkan para pemain hadrah dari Kuching, Samarahan dan Lundu itu berjaya memecahkan rekod yang dipegang Pahang yang menghimpunkan 350 pemain sebelum ini.

Sijil pengesahan rekod terbaharu itu diserahkan oleh wakil MBOR kepada Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Abang Johari dalam ucapannya berkata, selain hadrah, warisan budaya lain yang perlu dipelihara dan dilestarikan ialah kesenian bela diri Melayu seperti silat, tarian dan muzik.

“Kerjasama dan sokongan daripada NGO (badan bukan kerajaan) dan semua lapisan masyarakat dalam memelihara dan memulihara seni warisan budaya untuk tatapan generasi akan datang amat kita alu-alukan,” katanya dalam ucapan perutusan pada majlis itu.

Abang Johari bersama timbalannya, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan turut serta bermain hadrah dalam acara bersejarah yang dianjurkan Persatuan Kesenian dan Warisan Melayu Kuching (Kewarisma) dengan kerjasama Old Kuching Smart Heritage (Okshe) itu.

Pada majlis itu, juga 1,000 pesilat daripada 16 persatuan dan perguruan silat turut berhimpun, menjadikan ia sebagai perhimpunan terbesar pesilat dalam tempoh 10 tahun, selepas perhimpunan kali terakhir pada 2009 yang melibatkan 500 pesilat. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!