Kedah tumpu bangun semula Taman Industri Halal: Mukhriz

Mukhriz
Mukhriz
A
A
A

SUNGAI PETANI - Kerajaan Kedah akan memberi tumpuan khusus kepada pembangunan semula Taman Industri Halal atau Kedah Halal Park, di sini bagi melahirkan lebih ramai usahawan berdaya maju dalam penghasilan produk halal.

Menteri Besarnya Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata, kerajaan negeri akan mempergiatkan promosi bagi menarik lebih ramai usahawan untuk beroperasi di taman itu, selain akan menaik taraf kemudahan bagi membantu mereka memenuhi piawaian industri halal.

"Sebelum ini, kita ada Taman Industri Halal tapi dia macam ‘hidup segan mati tak mahu’, jadi kita nak kena perincikan dan kumpul maklumat semula apakah yang perlu dilakukan supaya taman itu mempunyai semua kemudahan dan kenal pasti apakah jenis pengeluaran yang bersesuaian dijalankan di situ,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kedah Halal Fest 2019 di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut meminta lebih ramai usahawan yang berkecimpung dalam industri halal untuk mendaftar dengan Unit Pembangunan Usahawan Negeri Kedah (UPUK) bagi membolehkan pelbagai bantuan yang disediakan kerajaan dapat disalurkan.

Katanya, menerusi Bajet Negeri Kedah 2020, kerajaan negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM1 juta kepada UPUK bagi melaksanakan program-program pembangunan untuk meningkatkan kapasiti dan keupayaan usahawan agar mereka lebih berdaya saing.

"Bila kita tak ada data atau maklumat, jadi kita nak bantu macam mana. Nak bagi kat siapa dan tujuan apa, jadi susah kita nak buat sebab kita perlukan maklumat itu, jadi penting untuk kita galakkan usahawan ini mendaftar UPUK.

“Walaupun ada yang sudah berjaya dan tak perlukan bantuan, namun maklumat mengenai usahawan ini penting untuk kita mengetahui mengenai usahawan kita, di samping memudahkan kerajaan negeri menyalurkan bantuan kepada mereka," katanya.

Sementara itu mengenai Kedah Halal Fest 2019, sebanyak 138 usahawan dan agensi terbabit mempamerkan barangan atau produk halal masing-masing selama empat hari bermula 24 Oktober lalu.

Artikel Berkaitan:

Difahamkan, eksport produk halal Malaysia pada tahun lepas mencecah sebanyak RM40 bilion dengan pengimport terbesar ialah Singapura (RM4.6 bilion), China (RM4.5 bilion), Jepun (RM2.5 bilion), Amerika Syarikat (RM2.4 bilion) dan Indonesia (RM1.9 bilion). - Bernama