Melaka usaha wujud penerbangan sewa khas ke China

Adly
A
A

MELAKA TENGAH - Satu jawatankuasa khas bersama Gabenor Jakarta dan Jawa Timur diwujudkan bagi membincangkan cadangan penerbangan sewa khas yang menghubungkan China - Melaka - Jakarta - Surabaya.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, perbincangan itu termasuk penerbangan sewa khas membawa sehingga 300,000 pelancong China ke Melaka, Jakarta dan Surabaya, Indonesia dalam tempoh setahun.

Menurutnya, usaha itu juga sebagai hubungan positif di antara Indonesia sekali gus meningkatkan peluang pelaburan dalam pembangunan Medical Tourism.

"Ia turut membabitkan bidang pendidikan khususnya dalam bidang ‘nursing’ melalui Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM).

"Pada dasarnya kerajaan bersetuju dengan cadangan penerbangan sewa khas dipelopori syarikat swasta, Batik Air yang dijangka bermula awal tahun depan.

"Jawatankuasa ini akan diketuai Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Hasim Hasan," sidang akhbar Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri, di Seri Negeri, di Ayer Keroh hari ini.

Tambahnya, perbincangan itu juga membolehkan Melaka mempromosikan pembelian rumah di negeri itu di bawah program Malaysia My Second Home (MMSH).

"Melaka yang kaya dengan sejarah menjadi tarikan pelancong khususnya dari China sekali gus memberi manfaat pertumbuhan ekonomi bagi negeri ini serta dua wilayah di Indonesia," katanya.

Adly dalam pada itu berkata, Amanah Finance House akan membantu Bumiputera negeri ini dengan menawarkan pinjaman pembiayaan rumah melalui dua skim iaitu pinjaman penuh bagi rumah berharga RM50,000 dan ke bawah manakala pembiayaan separuh bagi rumah berharga RM50,000 hingga RM100,000 bermula 1 November ini.

Menurutnya, inisiatif itu juga membantu mereka yang tidak pernah memiliki rumah untuk mempunyai kediaman sendiri selain beberapa syarat yang ditetapkan termasuk pemohon mesti berumur 21 tahun ke atas dan tidak melebihi 60 tahun.

"Jika seseorang itu bekerja di pasar malam dan dia mempunyai pendapatan tetap juga boleh memohon dan kelulusan itu bergantung kepada jawatankuasa yang ditubuhkan dengan kadar faedah pinjaman sebanyak empat peratus setahun," katanya.