Op Khas Samseng Jalanan: 19 motosikal, satu kereta disita

Op Khas Samseng Jalanan yang dijalankan di daerah Barat Daya bermula jam 10 malam Ahad hingga 6 pagi Isnin.
Op Khas Samseng Jalanan yang dijalankan di daerah Barat Daya bermula jam 10 malam Ahad hingga 6 pagi Isnin.
A
A
A

BALIK PULAU - Polis menyita 19 motosikal dan sebuah kereta dalam operasi bersepadu Op Khas Samseng Jalanan di daerah Barat Daya di sini, yang bermula 10 malam tadi hingga 6 pagi Isnin.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, pihaknya turut mengeluarkan 47 saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas dalam operasi berkenaan.

"Operasi khas itu dijalankan di kawasan Bayan Baru dan Bayan Lepas sebagai usaha membendung ‘mat rempit’ dan samseng jalanan. Semua kenderaan itu disita mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Operasi itu dijalankan oleh Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik Daerah Barat Daya dan Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Kontinjen Pulau Pinang bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di lokasi tumpuan mat rempit atau samseng jalanan berlumba dan menunggang motosikal secara melulu serta berbahaya," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Beliau berkata, operasi juga bertujuan memastikan penunggang motosikal sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas sedia ada dan mengikut spesifikasi yang ditetapkan.

Sebanyak 17 motosikal disita dalam Op Samseng Jalanan di Lingkaran Luar Butterworth Bagan Ajam pada malam Ahad.
Sebanyak 17 motosikal disita dalam Op Samseng Jalanan di Lingkaran Luar Butterworth Bagan Ajam pada malam Ahad.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd Asri Shafie berkata, pihaknya menyita 17 motosikal dalam Op Samseng Jalanan di Lingkaran Luar Butterworth (BORR) Bagan Ajam dekat sini bermula 11 malam tadi.

Beliau berkata, polis turut mengeluarkan 90 saman atas pelbagai kesalahan trafik menerusi operasi yang dijalankan susulan aduan berkaitan kegiatan mat rempit dan samseng jalanan yang mengganggu ketenteraman awam itu.

Katanya pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam kegiatan mat rempit dan samseng jalanan serta operasi secara giat akan diteruskan bagi membendung kegiatan tersebut daripada terus berleluasa. - Bernama