Jejantas runtuh dijangka dibuka awal tahun depan

Keadaan jejantas yang runtuh sebelum menghempap kepala lori.
Gambar kecil: Mohd Zawawi
Keadaan jejantas yang runtuh sebelum menghempap kepala lori. Gambar kecil: Mohd Zawawi
A
A
A

SHAH ALAM - Jejantas yang dirempuh sebuah lori hingga runtuh di Jalan Kebun di sini malam tadi, masih belum digunakan dan dijangka dibuka kepada orang ramai awal tahun depan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, insiden berlaku menyebabkan kerugian lebih RM500,000.

Menurutnya, jejantas tersebut turut memainkan peranan penting sebagai kemudahan kepada pelajar Sekolah Menengah Jalan Kebun berhampiran melintas jalan dengan selamat.

"Kejadian kecelakaan jejantas runtuh dan menghempap lori yang melanggarnya amat mendukacitakan.

"Saya percaya bahawa kejadian seperti ini boleh dielakkan jika semua pihak yang menjalankan kerja-kerja pembangunan infrastruktur ini mengikut garis panduan keselamatan. Sikap utamakan keselamatan perlu menjadi amalan dan budaya masyarakat kita di negara ini.

"Saya rasa sedih dengan kejadian yang berlaku ini dan hampir melibatkan nyawa," katanya.

Terdahulu beliau berkata, pemandu yang terhempap jejantas tersebut terpaksa bertarung nyawa hampir enam jam sebelum pihak bomba dan kontraktor dapat melepaskan mangsa daripada tersepit di ruangan kokpit yang remuk.

Beliau berharap, kejadian itu menjadi pengajaran kepada semua pihak supaya sentiasa berhati-hati dan tidak mengambil enteng dalam soal keselamatan awam yang melibatkan kerosakan harta benda awam dan nyawa manusia.

Artikel Berkaitan:

"Jutaan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat di dalam operasi menyelamat terutama daripada anggota bomba, kontraktor, polis, ambulan dan orang awam yang datang mendoakan agar misi berjaya," katanya.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat mengambil masa lebih empat jam bagi mengeluarkan seorang pemandu lori yang tersepit di bahagian tempat duduk selepas kenderaan itu melanggar sebuah jejantas berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Kebun malam tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Penguasa Kanan Bomba I Hafisham Mohd Noor berkata, pihaknya juga terpaksa menggunakan bantuan kren bagi mengangkat struktur jejantas yang menghempap lori terlebih dahulu sebelum mangsa boleh dikeluarkan.

Menurutnya, dalam kejadian itu, mangsa berusia 24 tahun yang cedera parah di kedua bahagian tangan dan kaki berjaya dikeluarkan pada jam 2.30 pagi.

Difahamkan, jejantas tersebut dipercayai runtuh apabila terkena rempuhan 'bucket' lori berkenaan yang tidak ditutup.