Ahli akademik etnik Uighur terima Hadiah Sakharov

ILHAM TOHTI
ILHAM TOHTI
A
A
A

BRUSSELS - Seorang ahli akademik etnik Uighur dianugerahkan Hadiah Hak Asasi Manusia oleh Parlimen Eropah.

Prof Ilham Tohti yang merupakan pengkritik lantang terhadap layanan buruk kerajaan China terhadap penduduk minoriti Islam di Xinjiang itu dijatuhi hukuman penjara seumur hidup pada 2014 selepas didakwa terlibat dengan kumpulan pemisah.

Beijing mendakwa beliau mencetuskan ketegangan etnik dan tindakan China memenjarakan Tohti turut dikecam kumpulan hak asasi manusia selain Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat menggesa pembebasannya.

Walaupun berada di dalam penjara, usaha Tohti, 49, untuk menarik perhatian masyarakat dunia terhadap kempen pembersihan etnik di Xinjiang akhirnya diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Majlis penyampaian Hadiah Sakharov tanpa kehadirannya itu dijadualkan diadakan di Strasbourg pada Disember depan.

Sementara itu, Parlimen EU dalam satu kenyataan memaklumkan anugerah tersebut diberikan kepadanya atas usaha beliau untuk mengadakan dialog antara etnik Uighur dan penduduk Cina.

Hadiah Sakharov untuk kebebasan bersuara itu diberikan Parlimen EU pada setiap tahun untuk memperingati jasa ahli fizik Soviet, Andrei Sakharov.

Sebelum ini, anugerah itu turut diberikan kepada pembangkang Cuba, Guillermo Farinas pada 2010 aktivis remaja terkenal Pakistan, Malala Yousafzai pada 2013 dan dua wanita puak Yazidi yang melarikan diri daripada kekejaman Daesh pada 2016. - Agensi

Artikel Berkaitan: